PROLOG
KAKI kecil itu berjalan turun dari tangga, memijak anak tangga satu per satu. Tangannya pula berpaut pada pemegang tangga di sebelah dan penuh berhati-hati dia membuka langkah.
“Fiyya okey tak tu?”
Dari tingkat atas, si ayah bertanya. Safiyya menoleh sekilas dan mengangguk.
“Fiyya okey, abah!” Akhirnya, kaki Safiyya menapak di lantai ruang tamu dan dia terus mengangkat tangannya ke udara penuh semangat. Dia berjaya!
Ayden ketawa sahaja dari atas, memerhatikan gelagat anak perempuan yang berumur lima tahun itu.
“Pergi cakap dengan ibu dekat dapur, nanti abah turun. Lepas tu kita pergi bazar.”
“Okey, abah!”
Safiyya menunjukkan isyarat ‘okey’ dengan jarinya sebelum dia berjalan ke arah dapur. Kelihatan ibunya sedang mengemas ruang dapur dan mata Safiyya tertancap ke arah balang-balang kosong di atas meja.
“Kenapa beli bekas banyak-banyak ni, ibu? Kita nak buat apa?” Safiyya menyoal. Mata bulatnya terkebil-kebil kehairanan.
“Nanti kita nak isi dengan kuih raya, Fiyya. Macam selalu,” balas Furaihah sebelum membuka kabinet dan menyusun balang-balang itu di situ. Wajah Safiyya kemudiannya terhias dengan senyuman lebar. Kelihatan bersinar-sinar.
“Maksudnya, nanti depan rumah atuk ada lampu pelita macam dululah ya?” Teruja si anak bertanya. Belum sempat si ibu menjawab, ada orang lain bersuara terlebih dahulu.
“Ya, Fiyya. Nanti rumah ni penuh dengan pelita macam raya tahun lepas. Fiyya dengan Abang Faiq nanti nak tolong pak cik cucuk batang pelita tak?” jawab Fawwaz lalu mendukung Safiyya.
Lantas sahaja si anak kecil itu mengangguk dengan senyuman lebar di wajahnya.
“Nak! Fiyya nak tolong!”
“Okey, lepas pak cik solat asar, kita pergi kedai cari batang pelita. Lepas tu kita pacakkan dekat keliling rumah. Okey?” Fawwaz mengangkat keningnya selepas itu. Laju Safiyya memberikan isyarat ‘okey’ dengan kedua-dua belah tangannya.
“Okey!”
“Alright, nice! Dah, pergi naik atas dulu. Mandi. Busyuk-lah Fiyya ni,” usik Fawwaz. Kemudian dia menurunkan Safiyya dari dukungannya.
“Fiyya baru aje mandi tadi dengan abah.”
“Oh, yakah? Ha, pergi kemas rak buku dengan Abang Faiq dekat ruang tamu tu.”
Tanpa membantah, Safiyya menurutnya sahaja dan mula bergerak ke arah ruang tamu rumah semula. Tiba-tiba, Safiyya menoleh kembali.
“Ibu, tadi abah cakap nanti abah turun. Lepas tu nak pergi bazar dengan ibu.” Safiyya sempat menyampaikan pesanan si ayah tadi kepada Furaihah, sebelum dia berlalu dari situ. Furaihah pula hanya tersenyum sahaja sebelum memandang ke arah Fawwaz.
“Kau ni, suka-suka hati aje cakap anak akak busuk? Kau tu, entah-entah lagi busuk,” kata Furaihah. Fawwaz menghidu badannya sendiri.
“Macam mana akak tahu? Aku memang tak mandi pagi tadi.” Selamba Fawwaz menjawab lantas Furaihah terus membaling kain lap ke arah adiknya.
Si adik langsung meledakkan tawa sebelum dia bergerak ke meja makan. Beg-beg plastik yang ada di tangannya diletakkan di situ.
“Ni aku ada beli sikit ayam dengan daging lepas habis kelas tadi. Akak tak beli apa-apa bahan lagi nak masak untuk raya, kan?” soal Fawwaz sambil tangannya mengeluarkan barang-barang daripada beg plastik.
Furaihah membantu Fawwaz memindahkan beg plastik yang berisi ayam dan daging ke dalam peti sejuk.
“Haah, belum beli apa-apa lagi. Tak terfikir pun nak masak apa untuk raya next week.”
“Rendang daging mesti ada, kak. Kalau tak ada, aku balik rumah sewa aku lepas tu raya dekat sana,” usik Fawwaz.
Furaihah hanya membuatkan muka menyampah.
“Ha, pergilah raya sorang-sorang dekat sana. Biar sendu,” balas Furaihah.
Fawwaz sekali lagi ketawa.
“Eh, Abang Ayden mana? Tak nampak pun dia dari tadi,” soal Fawwaz selepas itu.
Fawwaz baru tersedar, dia tidak nampak abang iparnya itu sejak tadi. Selalunya lelaki itu ada sahaja di ruang tamu setiap kali mereka balik ke sini.
“Ada dekat atas,” balas Furaihah.
Fawwaz mengangguk.
Bum! Tiba-tiba, ada satu bunyi asing yang memeranjatkan mereka berdua. Laju mereka menoleh dan memandang sesama sendiri.
“Apa benda tu? Macam bunyi benda berat jatuh aje.” Fawwaz kehairanan.
“Adalah tu Si Faiq ni. Faiq!”
Lalu, Furaihah dan Fawwaz bergerak ke arah ruang tamu. Seperti yang dijangka, kelihatan Faiq dan Safiyya duduk di hadapan rak buku. Ada sebuah buku yang tebal bersama mereka.
“Ya Allah, Faiq, Fiyya. Buat apa ni?” soal Furaihah sebelum matanya tertancap ke arah buku yang ditarik keluar oleh mereka berdua. Keningnya terus terangkat.
Fawwaz di sebelahnya pun begitu, sebelum dia melabuhkan duduk di belakang anak-anak buahnya.
“Fiyya tengok abang aje. Abang yang ambil buku ni,” kata Safiyya sambil menuding ke arah abangnya.
“Abang cuma nak tengok isi dalam dia aje, sebab abang pernah nampak buku ni kat dalam bilik atuk dengan nenek. Tengok ni, tajuk dia pun tulis guna tulisan tangan. Entah-entah ini tulisan atuk, tak pun nenek,” kata Faiq sambil menuding ke arah barisan ayat pada kulit buku itu.
Furaihah dan Fawwaz hanya berdiam diri, namun mereka berpandangan sesama sendiri.
Pembuka Kebahagiaan.
Mereka tahu maksud di sebalik nama buku ini.
“Alright, jom kita tengok apa yang ada kat dalam ni,” ajak Fawwaz.
Tangannya mencapai buku tersebut, namun tangannya ditepuk perlahan oleh si kakak.
“Boleh ke tengok buku ni? Ini buku ayah dengan mama, kan?” soal Furaihah perlahan.
“Akak tak curious ke nak tahu? Aku rasa dalam ni mesti banyak cerita pasal ayah dengan mama. Aku nak tahu juga ayah dengan mama punya sweet memories selama ni.” Fawwaz membalas sambil duduk bersila.
Safiyya dibawa ke atas pahanya sebelum Faiq pula mengendeng di sebelah.
“Ibu tak nak tengok sekali?” soal Faiq selepas itu.
Furaihah terdiam seketika, namun kemudian dia juga turut menyertai mereka. Fawwaz tersenyum sahaja, sebelum tangannya mula membuka buku tersebut. Masing-masing langsung tergamam ketika melihat setiap kepingan gambar dan puisi yang tertulis pada setiap muka surat.
Gambar dan puisi yang sarat dengan memori.
Cerita cinta dicipta
Penuh bahagia di jiwa
Indah rasa di dada
Kekal sampai ke syurga
Halwa manis di mata
Bahagia penuh di dada
Tercipta dengan adanya cinta
Dinanti pula sekian lama
Wahai anakanda
Moga menjadi anak yang diidam syurga
Teruntuk, Hawa Furaihah.