BAB 1
RASANYA nenek di kampung akan bersorak bangga sebab hujung minggu itu, Anna merajinkan diri untuk keluar dari rumah dan bersesak dengan orang ramai. Sebelum ini, setiap kali membuat panggilan video, nenek akan dihidangkan dengan pemandangan Anna melepak santai di atas sofa atau tilam.
Usia kandungan Anna yang sudah masuk bulan kelapan ini, kata nenek, kena banyak beraktiviti supaya senang bersalin nanti. Sebenarnya, bukan Anna tak bergerak langsung. Anna rajin juga ke An-Nur untuk menyiapkan kerja.
“Study kau macam mana?” Anna menyoal Zulfa yang duduk bertentangan.
Hari ini Anna keluar ditemani Zulfa ke pusat beli-belah Midvalley. Gadis yang pernah menjadi penghuni Rumah An-Nur itu yang mengajaknya melepak, jadi Fathur tak ikut sekali. Selepas hampir 40 minit mencuci mata, mereka singgah di Nandos untuk mengisi perut.
“Macam tulah." Zulfa menjongketkan bahu dengan malas. Nak sembang lebih-lebih pun, kitaran hidup seorang mahasiswa biasa macam dia memang hanya terikat dengan kelas, tugasan dan peperiksaan sahaja. Dalam semester akhir ini, Zulfa kurang aktif menyertai mana-mana program.
“Konvo bila? Kau dah habis final, kan?” Anna menyoal lagi. Tangannya menyuap Saucy Chicken Bowl ke dalam mulut.
“Konvo mungkin pertengahan tahun depan tapi rasanya aku tak datang kut.” Zulfa mencebik.
“Kenapa?”
“Balik Aussie.”
Anna senyap. Ibu kandung Zulfa berkahwin dengan lelaki Australia selepas mendiang ayah Zulfa meninggal, tapi dia tak sangka yang Zulfa akan balik ke bumi kanggaru itu secepat ini. Ingatkan Zulfa nak cari kerja di Malaysia dulu.
“Tak payahlah buat muka cekodok basi macam tu. Aku bukannya fly esok.” Zulfa menarik sengih.
Sebenarnya Zulfa sendiri masih dalam dilema. Lagipun, dia perlu menyelesaikan projek akhir tahun yang entah bila nak jumpa kata penamat.
“Bulan puasa nanti kau duduk mana?” Anna mengubah topik sambil tangannya menyuap nasi ke mulut. Sejak usia kandungan mencecah trimester ketiga ini, kerjanya asyik lapar sahaja.
“Haah kan, puasa dah start minggu depan. Aku duduk rumah Abah Ahmad kut." Memang itu saja keluarga angkat Muslim yang Zulfa ada. Keluarga kandung sebelah mak dan mendiang ayahnya semua bersepah duduk di benua lain, macam mana nak bersilaturahim?
“Nanti kalau free, datanglah lepak An-Nur,” pelawa Anna. Bila lagi nak membuat aktiviti khusus dalam bulan Ramadan bersama-sama? Tak lama lagi, Zulfa akan jadi orang Melbourne balik.
Anggukan Zulfa yang tengah menyuap roti bawang putih hanya dibalas dengan senyuman. Seketika, ruang antara mereka menjadi hening, sekadar berlatarbelakangkan keriuhan pengunjung yang lain.
“Lepas ni nak pergi mana?” Anna membuka suara.
“Kau larat lagi tak nak jalan? Aku nak singgah Muji.” Zulfa membalas. Mahu kena pancung dengan Abang Fathur sebab ajak isteri dia ni tawaf satu mall tak ingat dunia.
“Larat aje. Lepas tu balik, kan?”
Sebaik melihat anggukan Zulfa, Anna mengangkat kedua-dua ibu jarinya.
Kurang 30 minit kemudian, setelah Anna selesai membuat pembayaran, dia mendapatkan Zulfa yang sedang menunggu di luar restoran. Masing-masing kembali membuka langkah menuju ke tempat yang seterusnya.
“Anna!”
Langkah Anna mati. Zulfa yang sedikit bingung pun sama terhenti sebaik sahaja melihat tiga susuk tubuh yang berdiri dengan jarak hanya beberapa meter dari mereka.
“Irfan.” Anna mengukir segaris senyuman. Kecil sangat dunia ini ya? Dalam banyak-banyak tempat di Malaysia, kenapa kami terserempak di sini juga?
Anna sebetulnya tak ada masalah pun dengan sapaan teruja Irfan itu. Cuma dia agak janggal dengan pandangan redup ibu bapa Irfan yang tertumpu pada perutnya yang menampakkan bentuk yang semakin ketara.
“Berdua aje? Fathur mana?” Irfan kembali menyoal sebaik saja dia memendekkan jarak di antara mereka. Di belakang lelaki yang santai dengan kemeja-T putih itu, ayah dan ibunya turut sama menunggu jawapan.
“Haah, berdua aje. Fathur dekat rumah,” jawapan seadanya diberi.
Sudah terlalu lama sejak kali terakhir Anna berada dalam ruang yang sama dengan ibu bapa Irfan. Sekarang Anna hanya mahu cepat-cepat beredar dari situ.
Sejujurnya dia masih belum cukup terbuka untuk berpura-pura okey dalam semua hal. Anna sedar, dia yang terlalu keras hati tapi nak buat macam mana? Dia pun tidak suka hidup dalam keadaan sesak begini.
“Anna sihat?” Aunty Razan menegurnya lembut.
“Sihat, alhamdulillah.” Memang jawapan standard itu sahaja yang mampu Anna balas. Lambat lagi kalau nak suruh Anna untuk beramah mesra dan berlaga pipi dengan wanita ini.
“Alhamdulillah, suka ibu tengok Anna sekarang. Makin naik seri sejak mengandung ni.”
Ibu.
Anna rasa janggal dengan panggilan itu.
“Baguslah kalau Anna happy.” Aunty Razan menyambung pendek apabila Anna hanya membalas kata-katanya dengan senyuman yang masih belum padam.
“Kalau macam tu, kita orang pergi dululah. Kirim salam pada Fathur, bonda dengan ayahanda.” Irfan mungkin terlebih peka dengan suasana yang mula terasa kekok, pantas lelaki itu meminta diri.
“Yalah. Jumpa lagi, Anna.” Sempat Aunty Razan mengelus lengan Anna sebelum mengekori langkah Irfan dan suaminya di depan.
Anna masih statik memerhatikan langkah keluarga itu yang semakin menjauh. Rasa hatinya sekarang ini, tak tahu nak digambarkan bagaimana.
“Kau masih tak boleh terima keluarga Abang Irfan?” tanya Zulfa memecah keheningan. Kelibat Irfan dan keluarganya kian lesap di sebalik eskalator. Zulfa memandang sekilas wajah Anna yang kosong.
Anna tak terus menjawab. Soalan Zulfa tadi membuatnya terfikir tentang hatinya sendiri. Ketara sangatkah riak wajah kurang menyenangkan aku tadi?
“Kenapa kau tanya macam tu?”
“Kau tahu kan muka kau tu walaupun tak banyak sangat reaksinya, tapi obviously tunjuk apa yang kau rasa?” Anna mungkin tak perasan sangat yang dia langsung tak pandai nak sembunyikan perasaan sendiri.
“Tak adalah tak boleh terima. Cuma aku masih dalam proses nak melembutkan hati aku ni lagi.”
Mereka menyambung langkah yang terhenti tadi.
“Dah hampir setahun, tak lembut lagi rupanya.” Zulfa mengangguk kecil dengan kesimpulan sendiri. Dah hampir setahun sejak Anna berkahwin dengan Fathur dan dah hampir setahun juga Anna cuba untuk berdamai dengan keadaan.
“Kau pun nak suruh aku cepat-cepat buka hati untuk dia orang ke?”
Zulfa menjulingkan mata ke atas. Nampak sangat emosi Anna sedang terpancing sekarang ini.
“Taklah. Aku faham kau perlukan masa. Aku tahu memaafkan orang tu lagi senang daripada menerima.”
“Kau faham tak rasa sesak dia macam mana? Kau dah memaafkan tapi orang tak faham yang kemaafan kau tu maksudnya kau dah tak nak ada apa-apa hubungan lagi dengan dia? Aku maafkan kau tapi kau kena pergi daripada hidup aku,” tutur Anna perlahan.
Sungguh, dalam tempoh hampir setahun ini, dia sangat lemas dengan segala ayat yang seolah-olah menjadikan dia sebagai pihak yang bersalah.
Tentang Anna yang terlalu keras hati.
Tentang Anna yang sudah memaafkan tapi kelihatan seperti menyimpan dendam.
Tentang Anna yang kononnya menjadi asbab kepada hubungan dingin antara keluarganya dengan keluarga Irfan.
“Tak semua orang ada hati untuk letakkan diri sendiri di tempat orang lain. Ramai tahu nak menghukum aje.” Zulfa membalas perlahan, disusuli dengan hembusan nafas berat.
Anna tersenyum hambar. Selama ini, memang Anna sering dilabel sebagai orang yang ada masalah hati pun, kan?