MEMORI 1
Persiapan Minggu Haluan Siswa, Bilik Kuliah (MKG 2).
“NAH.”
Dhuha mendongak sebaik sebuah air kotak Dutch Lady perisa strawberi mendarat di atas meja.
“Oh, murung sebab ayang lambat rupanya.” Ayat yang diakhiri dengan siulan Idan itu disambut oleh dehaman menyakitkan hati daripada yang lain.
“Crush dari zaman diploma tapi lepas masuk degree baru kena pandang eh Dhuha?”
Allah.
Dhuha ketap bibir. Berdosa tak kalau dia hempuk kepala Sophie dengan air kotak ni?
“Seriuslah? Siapa crush siapa? Dhuha ke?” Kak Nani, senior satu tahun daripada Dhuha menyoal sama kepoh.
“Mana ada, memandai aje.” Wajah Sophie direnung tajam. Malam ni memang Dhuha halau kawan baik dia tu tidur dekat luar bilik! Kerja mengungkit aib zaman jahiliyah Dhuha dah kenapa?
“Terima je Dhuha. Nathan dah single balik.” Waqqas menyampuk dengan senyuman senget terukir.
“Dahlah. Muka dia dah merah. Menangis pula anak orang ni nanti.” Nathan tergelak kecil. Plastik berisi minuman yang dibeli dari mesin gedegang tadi diagih untuk mereka yang berada di situ.
“Aku ingat special untuk Dhuha seorang. Sorry, duh Dhuha. Crush kau, he’s a 10 tapi act of service dia untuk semua orang.” Haziq tergelak sambil menyambut tin 100plus yang dilontar Nathan.
“Speciallah tu, Nathan tahu fav Dhuha air strawberi.”
“Kalau Nathan pula, dia suka nasi putih dengan telur goreng add on kicap. Senang je Dhuha kalau nak jaga dia.”
Dhuha pejam mata sambil menahan kata-kata hikmah yang sikit lagi nak meluncur keluar. Apa benda kau buat datang sini ni Dhuha Inayat? Cepatlah masa berlalu, dia nak balik.
“Oh, kau orang senyap-senyap eh buat kerja.” Idan mengangguk perlahan dengan bibir mencebik kecil. Air berkarbonat yang dihulur Nathan, dibuka sebelum diteguk.
“Hush, buat tak tahu aje. Baru nak masuk fasa kenal hati budi tu.” Luqman meletak jari telunjuk ke bibir.
Dhuha senyap mengumpul sisa sabar dari membuat kenyataan balas. Padah ada member yang terlebih ramah, macam inilah. Selesa sangat sampai rasa nak pukul.
MEMORI 2
Persiapan Minggu Haluan Siswa, Dewan Utama universiti.
“Luqman pesan setiap seorang kena ada nama samaran masing-masing ikut tema MHS kali ni. Nanti masa briefing tinggal bagi je senarai dekat dia.” Pesanan terakhir Ben selaku pengarah program disambut dengan sorakan sebelum masing-masing bersurai memulakan kerja.
“Bebas kan nak pilih nama apa asalkan ikut tema?” Sophie menyoal sambil tangannya sibuk menggunting bahan untuk hari esok.
Tema Minggu Haluan Siswa untuk pengambilan kali ini adalah astronomi.
“Kita guna nama yang semalam tu jelah.” Dhuha melirik Sophie sekilas. Dia pun sama sibuk menyusun kerusi untuk kegunaan mahasiswa sementara menunggu giliran nanti.
“Kita orang cop Vega dengan Luna!” Sophie melaung. Tak nak nama samaran dia dan Dhuha kena curi.
“Aku Andromeda!” Dari arah pentas, Haziq menjerit tak nak kalah.
“Hah, cepat! siapa lagi? Aku tulis je terus, senang tak payah tunggu.” Luqman menyampuk. Tangannya mula menulis nama samaran masing-masing dalam kertas A4.
“Layt Intiqab!” Luqman melaung selepas 15 minit kemudian. Dahinya berkerut membaca senarai nama di tangan. “Layt Intiqab nama samaran kau apa?”
“Layt Intiqab tu nama orang ke? Aku ingat kau tengah baca doa, sikit lagi aku nak tadah tangan.” Waqqas tergelak.
“Aku ingat kau nak baca khutbah Jumaat.” Haziq sama mengusik.
“Bengong je masing-masing.” Nathan menyumpah pendek tapi langsung tak dihirau oleh Waqqas dan Haziq. “Aku ambil nama Sirius.”
“Nama kau ke Nathan?” Kak Nani menyoal dengan riak sama tak percaya.
“Eloklah tu. Sesuai Layt Intiqab dengan Dhuha Inayat. Nanti nama anak kau orang Biiznillah.” Fairuz menyampuk sebelum satu dewan hingar dengan suara manusia-manusia miskin adab tergelak.
“Selekeh betul perangai seorang-seorang.” Sophie rasa nak menangis.
Dhuha tayang penumbuk ke arah Fairuz. Nampaknya hidup dia selama Minggu Haluan Siswa ini berlangsung memang jauh dari kata aman tenteram.
“Nama Dhuha Inayat dengan Layt Intiqab tu sepatutnya masuk senarai budak-budak baik yang ambil bidang pengajian Islam atau syariah. Macam pelik je tiba-tiba nama Arab sesat dalam bidang design.” Luqman merenung senarai nama yang dipegang. Janggal betul nama Dhuha dengan Layt dalam senarai itu.
“Dah tu nama kita orang ni nama orang bukan Islam ke macam mana?” Mia yang berdiri di samping Luqman menjeling.
“Tak adalah, tapi nama kau macam nama orang yang dah kena westernised.”
Plak!
Belakang Luqman dilibas dengan fail kulit keras berisi draf rundown untuk hari esok.
“Tak, serius. Aku pun nak tahu macam mana boleh muncul nama Nathan?” Ben yang sejak tadi sibuk menyusun atur meja dan kerusi, tiba-tiba menyampuk.
“Nama manja ucuk acam dia dekat rumah. Arwah nenek dia yang chinese kasi.” Idan memberitahu.
“Kau ada sekali ke masa Pak cik Ibrahim daftar sijil lahir Nathan?” Waqqas menyoal dengan kerut dahi berlapis.
“Aku kenal family dia, of course aku tahu.” Idan acah kibas rambut sendiri yang dipotong gaya undercut.
“Kalau dah sampai tahap kenal family ni macam ada something wrong, somewhere.” Kak Nelly tergelak.
“Kita soulmate kan, sayang?” Idan buat riak gatal sebelum kelam kabut mengelak balingan padu botol mineral daripada Nathan. Main-main jelah!
“Dhuha okey tak Dhuha? Hati aman?”
Dhuha yang sejak tadi senyap, tersenyum sinis. Waqqas yang tengah tergelak itu direnung tajam. Rasa nak aje dia suruh Nathan baling Waqqas ni sekali.
“Aman je, aku kan dah ada kau?” Dhuha angkat tangan sebelum membuat mini love.
“MHS belum mula pun lagi, tapi dah banyak segi dah kisah cinta kau orang ni.” Abang Khair, anggota paling tua di antara mereka menggeleng.
“Tak sesuailah Dhuha. Kau kalau dengan Waqqas dia tak jadi Dhuha, dia habis waktu terus.” Ucapan Haziq itu disambut lagi dengan suara yang lain membahan.
Dhuha sama tergelak. Rasanya bingit suara mereka dalam dewan ni boleh dengar sampai ke pondok pengawal di depan gerbang universiti.
“Dah-dah, sambung buat kerja. Bukan main seronok kau orang membahan eh. Uni sekarang kosong, karang balik hostel ada yang mengilai aku tak tahu.” Ben meredakan suasana. Risau pak cik guard datang lepas tu halau mereka balik.
“Tak apa, tampal je nama Dhuha Inayat dengan Layt Intiqab tu depan pintu. Nanti benda tu confuse ingat ayat pendinding.”
Plak!
“Istighfar Waqqas, bawa mengucap. Kau keluar dari pintu ni tiba-tiba tak bernyawa nak menjawab apa dalam kubur nanti?” Mia membalas sinis. Budak Waqqas ni tak boleh nak dibiar sangat. Nama aje macam orang beriman tapi sebenarnya baca Al-Fatihah pun makhraj tak betul lagi.
“Astagfirullahalazim.” Waqqas pejam mata dengan tangan diurut perlahan ke dada.
“Hah, elok semua insaf. Kejap aku pasang zikir.” Noah yang baru sampai membawa laptop dan pembesar suara terus membuka Youtube.
Tak lama selepas itu, syair I'tiraf bergema satu dewan menenangkan penghuni di dalamnya.