Fa-Ro-Ha

BAB 2

DARI tadi Fariha menyelongkar almari biliknya, namun masih tidak berjaya menemui tudung yang dicari. Di mana pula bawal cream yang dia pernah pakai sebelum ini? Rasanya baru sekali saja dia pakai tudung itu, dan dia sudah simpan semula di dalam almari. Mustahil akan hilang jika sudah diletakkan di sini.

    “Mana ada tempat lain aku letak tudung selain almari ni?” Fariha menggumam perlahan. Serabut fikirannya memikirkan keberadaan tudung itu. Intan ingin meminjam tudung itu, katanya untuk pertandingan koir peringkat daerah, pada hari Selasa minggu hadapan.

    “Isy, sakit otak aku lama-lama!” Lantas, Fariha bergerak keluar dari kamarnya. Nama si ibu diseru sambil langkah kaki dibuka menuju ke dapur.

    “Ibu!”

    “Ya, Fariha. Ibu dekat luar ni.” Satu suara bergema dari luar pintu gril rumahnya. Fariha terus mendekat sebelum menolak pintu gril besi. Kelihatan ibunya sedang mengemas barang-barang yang ada di situ.

    “Ibu, nampak tak tudung cream Fariha? Kawan nak pinjam, nak guna untuk pertandingan koir next week.” Fariha menyoal selepas itu dan Puan Sarah bangkit memandangnya.

    Last kamu pakai bila? Letak mana lepas tu?” 

    “Lepas basuh Fariha simpan dalam almari, tapi bila cari balik langsung tak ada. Ada pencuri masuk ke? Tapi takkanlah dia pecah masuk rumah ni semata-mata nak curi tudung cream Fariha? Macam pelik je,” kata Fariha. Hanya itu yang terlintas dalam fikiran. Pasti ada orang ambil tudungnya tanpa izin atau dalam erti kata lain, mencuri!

    Tapi, wujud ke pencuri masuk rumah sebab nak curi sehelai tudung saja?

    “Cuba tanya kakak kamu. Dalam rumah ni yang banyak tudung warna-warni cuma kamu dengan kakak je. Ibu mana pakai tudung bawal,” balas Puan Sarah sebelum bergerak masuk ke dalam rumah semula. Fariha turut sama mengekorinya.

    “Kakak dekat kampus, kan? Dia ada balik ambil tudung Fariha ke?” soal Fariha selepas itu. Hairan. 

    “Manalah tahu dia pinjam dan bawa sekali ke kampus.” Puan Sarah membalas. Ya tak ya, juga kan? Ada kebenaran di sebalik kata-kata si ibu, dan lantas Fariha kembali ke biliknya. Telefon pintar dicapai sebelum dia menghubungi si kakak. Tidak mahu mesej dan menunggu ia dibalas. Mahu sampai dia bercucu pun tak akan berbalas mesejnya tu. Macam sibuk sangat gayanya.

    Akhirnya, panggilan diangkat. “Assalamualaikum, kakak.”

    Hurm.” Suara serak-serak basah kakak menyahut, seperti baru bangun tidur. Takkanlah perempuan ni tak bangun tidur lagi? Dah pukul 11 pagi.

    “Kakak baru bangun ke?” soal Fariha selepas itu. 

    “Kau nak apa?” Soalan dibalas soalan. Nada suara Nadirah di hujung talian juga terdengar tegang, seakan-akan tidak suka dirinya diganggu.

    “Kakak, kakak ada bawa tudung bawal bidang 50, warna cream ke masa balik kampus?”

    “Hah? Warna cream? Bawal?” Nadirah menyoal semula meminta kepastian.

    Fariha mengangguk. “Haah, warna cream, tudung bawal.”

    Erm … rasa macam … ada. Sebab semalam aku pakai pergi kelas. Tudung Dellins ke?” Pertanyaan Nadirah itu lantas membuatkan mata Fariha membuntang.

    “Ya, haah! Tudung Dellins! Ada dekat kakak eh?” soal Fariha lagi dan lagi. Agak tersentak dia mendengarnya. Sejak bila kakak ambil tudung dia? Dahlah ambil tanpa beritahu!

    “Ya, dekat aku. Aku ambil sebab aku ingat kau dah tak nak. Terbiar dalam almari tu, so aku ambil jelah. Tak tahu pula kau nak guna lagi,” balas Nadirah dan nafas berat dilepaskan oleh Fariha. Duduknya dilabuhkan di atas birai katil sambil wajah diraup perlahan.

    Sudah hampir setengah hari dia mencari tudung itu. Habis bersepah biliknya dengan pakaian dan tudung yang berterabur atas lantai dan hakikatnya tudung itu memang ada pada Nadirah. Ya Allah, sakitnya hati!

    “Kenapa ambil tak cakap dengan Fariha dulu? Barang orang, kan? Lain kali mintalah izin dulu.” Ditahan saja suaranya daripada terlepas nada berang. Memikirkan yang kakaknya ini sering kali meminjam barangnya dan dia membenarkan saja, namun apabila Fariha ingin meminjam barangnya, mulalah Nadirah tarik muka. Bagi alasan tak boleh pakai sangatlah, rosaklah, atau nanti nak gunalah.

    Tapi kalau dia pinjam dan tak diberi izin, dia marah dan kata Fariha kedekut.

    Ya Allah, Astaghfirullah. Sabar, Fa. Sabar.

    “Aku dah kata tadi, kan? Aku ingat kau tak nak guna dah tudung tu. Sebab tu aku ambil.” Nada Nadirah kian kedengaran tegang. Masih tak mahu meminta maaf. Masih lagi menganggap dirinya tidak bersalah.

Saat itu, Fariha menarik nafasnya dalam-dalam dan ditahan. Satu, dua, tiga. Lepas.

    Sabar ya, Fa? Allah suka orang baik.

    “Yalah yalah, pakailah tudung tu. Ambil je terus. Nanti pandailah Fariha beli lain.” Fariha pasrah akhirnya. 

    “Tak payahlah, nanti aku balik aku pulangkanlah. Nak merajuk pula. Orang pinjam je pun, bukannya nak ambil terus.” Nadirah terus berkata. Nada masih tegang. Jelas menunjukkan yang emosi si kakak sudah diburu berang.

    Siapa yang sepatutnya marah sekarang? Fariha atau Nadirah? Ambil barang tanpa izin. Kalau Fariha tak call tanya, memang dibuat harta sampai anak cucu agaknya.

    Saat itu, sekali lagi Fariha menarik nafas. Membiarkan udara memenuhi seluruh ruang dalam dada. Mematikan segala rasa yang kian membuak panas dengan nama Tuhan. 

    “Eh tak apalah, tak apa. Tudung tu ambil je. Fariha pun tak suka jenis kain dia, memang ingat nak beli baru pun. Cari ni tadi pun sebab nak jual balik dekat kawan, tapi tak apalah. Sedekah jelah dekat kakak.” Akhirnya, Fariha mengalah. Malas hendak bertekak dan bertikam lidah dengan si kakak.

    Sungguh, dia malas. Penat hendak bertegang urat dengan manusia yang sentiasa merasakan dirinya betul dan langsung tak pernah salah. 

    “Betul ke ni tak apa? Bunyi kau bercakap masa tanya tadi macam marah sangat aku ambil tak minta izin kau. Bukannya aku tak pernah ambil barang kau pun selama ni. Tiba-tiba je aku kena minta izin dah kenapa?” Nadirah menyoal semula. Barangkali hairan mendengar nada suara Fariha yang tadi tegang tiba-tiba berubah tenang. 

    Common sense kut. Kalau Fariha ambil barang kakak tanpa izin, kakak suka ke?” balas Fariha. Sedaya upaya dia mencuba untuk mengekalkan nada tenang pada suaranya.

    Nadirah mendengus. “Yalah, yalah. Tudung ni nanti aku pulang balik. Cakap jelah tak ikhlas nak bagi. Senang. Dahlah, aku nak sambung tidur.” Dan tiba-tiba panggilan itu mati. Meninggalkan Fariha yang tercengang di situ. Skrin telefon sendiri dilihat. Kosong kerana tiada lagi panggilan antara dia dengan Nadirah.

    Sekali lagi mata Fariha terpejam. Wajahnya sendiri ditekup dan belakang tubuh lantas dihempas ke dada tilam. Kepalanya penuh dengan amarah yang ingin membuak.

    Jika marah, duduk. Jika masih marah, baring.

    Dan itulah yang sedang dia buat sekarang ini. Baring dan cuba untuk menghilangkan amarah yang ingin saja dia letuskan sebentar tadi. Tindakan si kakak yang mengambil tudung bawal miliknya tanpa izin ini bukanlah kali pertama, namun dia masih tidak boleh beriak tenang.

    Sebelum ini pun, Nadirah pernah ambil pen yang selalu dia guna. Katanya hendak pinjam sekejap kerana waktu itu sedang berbincang sesuatu dengan ibu, dan sampai ke hari ini Fariha tidak tahu pen itu ada di mana. Itu masih boleh diterima. Sebatang pen, tidak terlalu besar kesannya.

    Tapi, Fariha tidak boleh lupa tentang jam yang pernah dia dapat daripada kawannya. Jam itu, hadiah daripada Wahidah, sahabatnya yang sudah terbang ke Sabah kerana berpindah ke sana mengikut bapanya. Walaupun ia hanya sebuah jam yang dibeli di pasar, namun dia sayang benar jam itu.

    Itu pun Nadirah ambil dan buang tanpa memberitahu apa-apa. Katanya, dia sangka itu sampah dan perlu dibuang kerana sudah rosak dan tidak boleh digunakan lagi. Jarum jam sudah kaku tidak bergerak.

    Betapa hatinya retak tanpa ada sesiapa yang tahu. Dia diamkan saja, kerana Puan Sarah juga mengatakan yang jam itu tidak perlu disimpan lagi. Hanya akan memenuhkan ruang di atas meja belajar Fariha jikalau masih ada. Apabila si ibu sudah bersuara juga, Fariha hanya mampu diam dan tersenyum. Mengeyakan dan menyokong meski jiwanya terasa bagai ditikam.

    Sakitnya masih tersisa sampai ke saat. Ya Allah, adakah selama ini dia tidak reda untuk benda kecil begitu? Kebudak-budakan sungguh kau ni, Fariha. Benda macam tu pun kau nak sedih?

    “Allahuakbar.” Fariha mengurut pelipis sendiri. Sangkanya dengan berbaring begini, dia akan lebih tenang dan dapat melupakan amarahnya. Namun, makin bertambah berang dan serabut apabila dia mengingat kembali semua perkara yang didiamkan selama ini.

    Akhirnya, Fariha bangkit dari katil dan terus mencapai tudung sarung hitam. Beg sandang birunya ditarik kasar sebelum langkah dibuka menuju ke muka pintu. 

    “Ibu, Fariha pergi rumah Tokma, ya! Nak study dengan Fathi!” Fariha berkata sambil keluar. Kedengaran suara si ibu membenarkan dari arah dapur. Lantas, dia menyarung selipar dan bergerak ke rumah sebelah. 

    Duduk seorang diri di bilik dalam keadaan begitu memang membuatkan dia berasa sesak. Mungkin belajar bersama-sama Fathi boleh membantu untuk kurangkan tekanan. Namun, lelaki itu kadang-kadang makin menaikkan tekanan otak dia.

    “Assalamulaikum, Tokma! Tokma! Oh, Tokma! Fathi!” Di hadapan rumah batu bercat kelabu itu, suara Fariha lantang memberikan salam. Kedengaran satu suara menjawab salamnya dan figura Tokma menerpa retina mata.

    “Oh, Fariha rupa-rupanya.” Tokma berkata sementara Fariha menyalami tangan wanita yang sudah lanjut usia itu. Fariha tersenyum lebar.

    Sorry, Fariha datang tiba-tiba. Fathi ada ke, Tokma?” soal Fariha selepas itu. Selalunya lelaki itu yang akan muncul di muka pintu jika dia memberi salam.

    “Ada, tapi tengah terbongkang dekat sofa ruang tamu tu. Mehlah masuk.” Tokma mempelawa dan Fariha menurut sahaja. Dia membuka langkah, menyaingi wanita tersebut.

“Tokma pun baru je nak masak te … Allah!” Apabila tiba di muka pintu rumah, Tokma terperanjat sendiri. Fariha terus diburu hairan dan menoleh juga ke arah ruang tamu. Allah! 

Sempat Fariha terkaku sekejap sebelum menunduk. Kejap dia berpaling ke sini, kejap ke sana. Wajah terasa hangat pula tiba-tiba. Mana taknya? Fathi tidur pakai kain pelikat sahaja dekat sofa tu! 

    “Ya Allah, maafkan Tokma, Fa. Lupa Fathi kalau dekat rumah memang macam ni. Kejap eh, kamu tunggu luar dulu.” Tokma terus berkata dan Fariha hanya menurut tanpa bersuara. Dia berundur ke beranda rumah sebelum mengipas wajah sendiri.

    Ya Allah, panas betul muka Fariha sekarang ni.

    Namun entah mengapa, dia rasa hendak ketawa. Bibirnya mengukirkan senyuman lebar sebelum dia melepaskan tawa kecil. Menghilang jua amarah yang membuak tadi.

    “Hud? Bangun, bangun. Fariha datang tu, dia kata nak study dengan Hud. Ya Allah, apa bendalah anak bujang tidur terkangkang macam ni?” Suara Tokma menjengah telinga.

    “Apa Tok? Hud dah qiam tadi. Nanti subuh Hud bangunlah pergi surau.” Suara serak basah Fathi pula bergema. Memang betul-betul lena tidurnya tu. 

    “Bangunlah! subuh apa kamu ni? Nak masuk tengah hari dah. Dahlah tadi Fa ternampak kamu tidur tak senonoh macam ni, tahu? Malu tujuh keturunan Tokma dibuatnya.”

    “Hah!” Fathi terkejut besar. 

    Sekali lagi Fariha menahan tawa. Mendengarkan suara Fathi yang benar-benar terkejut dengan kata-kata Tokma sudah cukup membuatkan dia terbayangkan muka cuak Fathi yang selama ini tenang dan selamba.

    “Kenapa Tokma tak kejut Hud sebelum bawa dia ma … aduh!”

    Bunyi kaki terlanggar bucu meja. Kuat. Pergh, mesti sakit!

    “Lailahaillallah, budak sorang ni. Lain kali pakai baju tu duduklah. Kan dah terlanggar meja.”

    Fariha menggeleng kecil mendengarnya. Ya Allah, hilang terus rasa sesak yang tadi menggigit dada. Terhibur. Sungguh, dia berasa tenang di sini.

    “Fa.” Namanya diseru dan Fariha menoleh. Untuk kali yang kedua, Fariha tersentak sekali lagi. Rambut Fathi yang jatuh menutupi dahi kelihatan tak rapi, tak ada kaca mata tapi kenapa …

    “Fa?”

    … Fathi nampak lagi handsome macam ni?

    Ya Allah, apa kau ni, Fariha? Tak nak, tak nak!

    Kemudian, Fariha terus memandang ke arah belakang Fathi, seperti tercari-cari sesuatu. Tindakannya membuatkan Fathi juga menoleh, hairan.

    “Kau cari apa, Fa?” soal Fathi.

    Erm, saya … cari Encik Hud Fathi. Encik beruk jantan berambut serabai dengan muka tak basuh ni nampak dia tak?” Soalan Fariha itu tak semena-mena membuatkan Fathi memandangnya geram sambil mengetap gigi. Penumbuk ditayangkan. Terus saja Fariha meledakkan tawa. 

    “Kau patut tahu, kalau kau boleh bercakap dengan beruk, maksudnya kau pun beruk juga.” Fathi membalas dan giliran Fariha memandangnya tajam. Weh, dia kena balik sedas!

    Fathi angkat bahu selamba. “Fair and square, isn’t?”

    No, it isn’t.”

    Well, it is for me. Dahlah, aku baru bangun tidur ni. Tak suka nak rosakkan mood bergaduh dengan kau. Kau kenapa datang sini? Siap bawa beg lagi. Takkan kau nak study lagi? Tak sakit otak ke?” Fathi menyoal sambil membuka lebih luas pintu gelangsar rumahnya. Mempelawa gadis itu masuk tanpa berkata apa-apa. Fariha kemudiannya berjalan masuk.

    “Aku rasa sakit otak tadi, sebab tu aku datang sini nak hilangkan sakit otak tu.”

    Sekarang, sakit otaknya memang sungguh-sungguh hilang sebab kejadian tadi. 

    “Dah tahu sakit otak, lepas tu datang sini nak study? Makin bertambahlah sakit otak tu. Kalau kau tiba-tiba jadi gila time study nanti, aku tak bertanggungjawab okey. Pandai-pandai kaulah pergi Hospital Bahagia sendiri,” ujar Fathi selepas itu dan Fariha ketawa sahaja. Duduknya dilabuhkan di atas sofa selepas Fathi juga duduk di sofa berhadapan Fariha. 

    “Kau pula?” 

    Fathi pandang dia hairan. “Aku pula apa?”

    “Kau tengah marah dengan siapa? Tokma kata kau pergi basuh semua bilik air rumah ni lepas subuh tadi. Kau kalau buat macam tu mesti kau tengah emo.” Fariha berkata lagi dan Fathi yang sedang bersila di atas sofa itu menggaru hujung kening.

    “Tak ada apa-apalah.”

    “Tak ada apa-apa kau tu macam orang perempuan bila tanya lapar ke tak tapi dia jawab tak tapi sebenarnya ya, dia lapar. Baik kau cakap sekarang,” tegas Fariha. Nadanya berbaur amaran. Dia sudah kenal benar dengan sikap Fathi yang suka melepaskan rasa dalam dada dengan membasuh tandas dan bilik air. Mereka bukannya baru kenal semalam.

    “Tak ada apa-apalah, aku cuma … mimpi Umi dan Abi malam tadi. It’s not a good dream. Jadi, bangun pagi ni aku rasa nak marah orang. Sebab tu aku basuh bilik air, saja cari penat. Tidur tadi Alhamdulillah, terus mimpi jumpa puteri kesultanan Brunei yang lawa tu tapi ada nenek tua kacau. Tengah duduk depan aku ni pun ha.” Selamba Fathi memerli. 

    Fariha menunjukkan kepalan tangan dengan muka menahan geram. Lantas Fathi melepaskan gelak. Terhibur.

    “Kau tu, sakit otak tiba-tiba kenapa? Kau masih tak boleh get back dengan soalan garis lurus ke lepas dah break up minggu lepas?” soal Fathi sambil tangannya mencapai bekas berisi kerepek pisang. Dibuka sebelum disuap ke dalam mulut. Belakang badan sudah bersandar pada kepala sofa.

    “Tu kau tak payah tanyalah. Aku rasa aku dah kena talak satu dengan subjek Matematik. Tak tahulah boleh rujuk balik ke tak.” Fariha pasrah. 

    Fathi yang sedang mengunyah tersedak. “Nanti aku ajar kau, tapi beritahu aku dulu kau sakit otak tentang apa? Siapa buat kau marah tu?”

    “Kakak aku.”

    “Kakak kau buat apa lagi dengan barang kau?” tanya Fathi. Sudah tahu kalau kakak Fariha yang menjadi topik mereka, mesti ada barang Fariha yang diambil. 

    “Dia ambil tudung cream aku, tak minta izin lagi weh. Aku baru nak bagi Intan pinjam sebab next week dia ada pertandingan koir. Cikgu kata semua kena pakai tudung creamso dia nak pinjam aku punya kalau ada. Dari pagi tadi aku cari tudung tu dalam almari. Langsung tak jumpa. Rupa-rupanya kakak aku ambil, bawa ke kampus dia.” Panjang lebar Fariha bercerita. Rasa berang yang sudah malap tadi terasa membahang semula. Masih bersisa rupa-rupanya. 

    “Kau marah dia tak?”

    “Aku mana boleh marah dia, nanti mulalah dia merajuk tarik muka masam dengan aku sampai tahun depan. Aku ni dahlah tak pandai pujuk orang,” balas Fariha selepas itu. Mukanya keruh. 

    So, kau mengalah sajalah macam selalu? Kau biar je dia ambil?” soal Fathi lagi sambil mengangkat kening. Seakan-akan sudah menduga apa yang Fariha akan buat.

    “Dia kata nak pulang balik, tapi nak tunggu dia balik tu entah-entah minggu depan. Mana sempat kalau Intan nak pinjam. But as always, gaya dia bercakap tadi memang sumpah buat aku naik angin tapi aku tak boleh nak marah dia sebab dia akan lagi hangin daripada aku.” Fariha berkata. Dilepaskan semahu-mahunya amarah yang berkumpul semula.

    “Kau pun satu, kenapa tak marah dia balik? Dia ambil tanpa izin kut, dahlah barang kau. Mostly barang kau, kau beli sendiri dengan duit yang kau simpan, kan? Tapi kau bagi je pada kakak kau, sebab malas nak berbalah dengan dia. Kalau kau terus macam ni, sampai bila-bila dia akan buat barang kau tu semua macam barang dia,” bebel Fathi panjang.

    Fariha melepaskan keluhan kecil. Badan disandarkan kasar pada kepala sofa sebelum kepala direhatkan juga di situ. Mendongak ke siling dengan mata terpejam. 

    “Entahlah weh. Aku marah, tapi tak boleh. So aku cuma boleh mengalah sebab tak suka nak bergaduh dengan dia.” Dia memandang Fathi semula. “Serius weh, aku benci nak bergaduh dengan kakak aku tu sebab kalau dia tengah marah, nampak bayang kau pun dia dah buat muka meluat macam kau ada buat salah besar dengan dia. Padahal dia yang salah.”

    “Kakak kau suka play victim.” Fathi berkata tanpa berlapik. Wajah Fathi juga menegang tanpa sedar. 

    Dengan pasrah, Fariha melentokkan kepalanya sekali lagi. “Aku pun tak tahulah sampai bila aku kena berkongsi semua barang dengan dia, tapi bila aku nak pinjam barang dia, banyak betul alasannya. Aku rasa macam nak beli kunci manggalah untuk almari aku tu. Pintu bilik tu pun aku nak kunci sentiasa, biar dia tak dapat masuk.”

    “Dia boleh masuk melalui tingkap, Fa. Tingkap rumah kau kan jenis yang macam rumah aku juga. Bukan macam rumah orang lain,” ujar Fathi lagi sebelum menyuap kerepek pisang terakhir ke dalam mulut. Lalu, bekas itu ditutup semula.

    “Aku letak gril besi dekat tingkap tu. Isy, entahlah! Aku harap dia cepat-cepat kahwin dan keluar dari rumah tu. Tapi ada ke lelaki nak dekat dia kalau perangai dia macam tu?” Fariha melepaskan nafas berat.

    “Kalau macam tu kaulah kahwin dulu. Jom kahwin dengan aku lepas SPM.” Fathi mengenyitkan mata dengan riak nakal. Fariha terus terjegil. Kahwin dengan Fathi? Kirim salam!

     “Buat apa kahwin dengan kau? Nanti tak berkembang keturunan aku. Asyik hadap muka kau je. Aku nak juga hadap suami lagi handsome daripada kau.”

    “Oh, kau pandang rendah pada aku? Kau sabar, Fa. Habis SPM nanti kalau aku glow up, lepas tu kau ajak aku kahwin, aku tolak kau sampai masuk gaung.” Fathi berkata sambil bangkit daripada duduk. Bekas kerepek pisang dipegang.

    “Kau duduk situ kejap. Aku nak isi balang ni. Kau nak air apa?” tanya Fathi. 

    “Teh o suam satu, roti kosong dua. Kuah kari kambing. Lapar ni.” Fariha membalas dan tersengih. 

    “Kau ingat ni mamak ke nak order roti kosong kari kambing? Banyak cantik muka kau. Air kosong jelah. Air manis tak elok. Nanti kau obesiti. Kau dah dekat-dekat nak obes dah tu. Joging sikit dah mengah,” ujar Fathi sambil menuju ke dapur. Fariha hanya memandang dengan ekor mata tajam sehingga tubuh itu hilang di sebalik dinding.

    Mentang-mentang dia atlet balapan, suka-suka je cakap orang dah hampir nak obesiti. Beratnya baru 46 kg, okey! Ideal untuk orang setinggi 159 cm seperti dirinya.

    Namun, bibir Fariha mengukirkan senyuman nipis tanpa sedar.

    Fathi sentiasa ada untuk dengar dia meluahkan apa-apa.