Fa-Ro-Ha

BAB 3

SORRY, Intan. Aku tak tahu pula kakak aku ambil tudung tu bawa balik kampus dia. Sorry tau sebab tak dapat bantu kau kali ni,” ujar Fariha. Wajahnya diselubungi riak serba salah sementara Intan menggeleng kecil sambil tersenyum nipis. 

    “Eh, tak apa, Fariha. Aku yang patut minta maaf sebab asyik pinjam tudung kau selama ini. Tak apa, kali ini aku cari sendiri. Terima kasih sebab selalu bagi aku pinjam tudung.” Intan pula membalas. Dia seperti langsung tidak terbeban dengan kata-kata Fariha.

    Fariha tersenyum kecil. “Tak apa, selagi aku boleh tolong, aku tolong insya-Allah. Cuma kali ini aku tak dapat nak tolong. Apa-apa pun, good luck, Intan. Moga menang!”

    Intan ketawa sebelum mengangguk perlahan. “Mesti menang!”

    “Insya-Allah.” Fariha berkata lagi dan Intan hanya tersenyum nipis. Akhirnya gadis itu berlalu dari kelas Melati dan kembali ke kelasnya di bangunan sebelah. Fariha pula duduk semula di tempatnya dan menjamah makanan. 

    “Ju, kau mesti tak nak sayur tu, kan?” soal Fariha dan Julia di sebelahnya tersengih lebar. Tanpa diminta, Julia terus menyerahkan sayur-sayur hijau yang diasingkannya ke dalam bekas polisterina Fariha.

    Thanks, Fariha sebab selalu habiskan sayur aku. Kau memang sahabat dunia akhirat,” kata Julia sambil menunjukkan ibu jarinya. Fariha ketawa selepas itu.

    “Bukan baru hari ini aku kenal kau. Dari form 3 aku dah jadi kuli yang selalu habiskan sayur-sayur yang kau tolak ke tepi.” Fariha membalas dan Julia ketawa lagi. 

    “Sebab aku sayang kau. Kau kena makan banyak sayur, untuk dapatkan badan yang sihat macam Fathi. Barulah betul, dua-dua sihat. Sepadan,” seloroh Julia dan Fariha terus menyiku gadis itu kuat. Makin galak Julia mentertawakan Fariha.

    “Astaghfirullah, apa benda kau merepek ni, Hana Julia? Bertaubatlah, anak muda. Pintu taubat masih terbuka untuk kamu,” kata Fariha dan Julia menghabiskan tawa. Ya Allah, terkejut Fariha dengar Julia cakap begitu. Sepadan? Dah kenapa nak padankan dia dengan Fathi?

    Tak naklah. Fathi tak capai takat tinggi lelaki idaman dia. Fathi tinggi 178 cm, tapi Fariha nak suami 180 cm. Dahlah tidur tak pakai baju, berkain pelikat saja. Dislike Fathi! Dislike

    “Aku cakap benda betul, okey? Kau dengan Fathi dah macam Erin dengan Naim, tahu? Cumanya dua orang tu memang dah declare, tapi kau berdua ni masing-masing tak nak mengaku. Bila nak declare, Fariha? Fathi tu handsome kut. Ramai fans dekat sini sebab dia ketua PRS, atlet balapan sampai peringkat negeri pula tu. Lepas tu, dia pun pandai macam kau juga, tapi dia tak suka bercakap dengan perempuan kecuali dengan kau. Kau je yang dia boleh bercakap macam biasa. Dengan yang lain mana ada,” ujar Julia. Dia kedengaran teruja apabila berbicara tentang itu.

    “Berapa kali aku nak cakap? Aku dengan Fathi tu rapat sebab dah kenal dari tadika lagi. Kami berjiran. Rumah kitorang sebelah-sebelah je, sebab tu aku rapat dengan dia. Dia pun biasa dengan aku. Mana ada apa-apa,” balas Fariha kemudiannya. Rasanya sudah berbuih dia bercerita tentang ini, tapi kenapa semua orang masih anggap dia ada apa-apa dengan Fathi?

    Faham tak? Kami cuma kawan. Kawan!

    “Aku pernah dengar seorang motivator tu kata, antara lelaki dan perempuan yang berkawan mesti akan ada rasa tu walaupun sikit. Benda tu fitrahlah, Fariha. Takkan kau tak rasa apa-apa bila dengan dia?” soal Julia lagi, kelihatan masih tak berpuas hati. 

    “Aku rasa biasa bila bercakap dengan dia, macam mana aku bercakap dengan kau, dengan classmate kita yang lain. Nak rasa apa?” Fariha menyoal kembali. 

    “Kalau kau dengar budak-budak classmate kita bercinta dengan budak junior, kau rasa apa?” tanya Julia.

    “Nak rasa apa? Rasa berdosa, sebab couple tu haram. Takkan aku nak ucap tahniah lepas tu cemburu untuk benda yang Tuhan tak suka?” Fariha membalas selamba dan Julia melepaskan keluhan kecil. 

    Let me help you, Fariha. Ini untuk tahu sama ada kau suka dia lebih daripada sekadar member atau tak. Tadi kau kata kau tak rasa apa-apa kalau classmate kita bercinta dengan junior, tapi kau akan rasa apa kalau kau tahu Fathi couple dengan budak junior?” Soalan itu tak semena-mena memakukan Fariha.

    Julia mengangkat keningnya berkali-kali. “Kau rasa apa?”

    Fariha diam. Fathi bercinta dengan budak bawah mereka? Entah mengapa, dadanya rasa tak senang memikirkan itu. 

    “Kau rasa kecewa, kan?” duga Julia sambil menuding ke arahnya. Senyumannya melebar dan Fariha terus menolak jari rakannya itu ke tepi.

    “Aku tak rasa apa-apa sebab aku tahu Fathi tak akan bercinta. Dia waraklah, Ju. Tiap-tiap malam dia qiam dengan Tokma dia, kau tahu? Dia mesti tahu hukum Tuhan. Takkanlah dia nak couple? Elok-elok pahala dia banyak, nanti karang bocor karung pahala dia sebab bercinta.” Fariha membalas sebelum menutup bekas polisterina.

    “Tapi dia tak jaga ikhtilat dia dengan kau, so itu sama je aku rasa. Dosa juga.”

    Fariha terdiam serta-merta. Termati pergerakannya yang hendak memasukkan bekas polisterina ke dalam plastik. Air liur ditelan dalam diam. Tiba-tiba, dia terasa perit.

    “Weh, sorry kalau ayat aku tadi kasar.” Julia terus memohon maaf apabila Fariha terus membisu setelah dia menuturkan kata-kata itu tadi. Fariha mengangkat wajahnya sebelum tersenyum nipis. 

    “Eh, tak apa, tak apa. Aku buang ni kejap, lepas tu aku nak basuh tangan.” Fariha terus berkata dan berlalu dari situ. Plastik di tangan dibuang ke dalam tong sampah sebelum menuju ke arah paip di hujung bangunan kelas mereka. Paip dipulas sebelum tangannya dibasuh.

‘Dosa juga.’

    Kata-kata Julia tadi kembali bergema dan langsung gerak tangan Fariha mati. Buat beberapa ketika, tubuh gadis itu kaku dengan air yang terus-menerus membasahi tangan. Jauh fikirannya memutar semula kata-kata Julia tadi dan dadanya kembali sesak.

    Namun, dia tidak tahu hal apa yang menyesakkan dadanya. Yang pasti, dia rasa tidak tenang. Sedih dan berduka tanpa sebab. 

    Adakah dia akan menjadi penyebab pahala yang Fathi ada dihapuskan, dan pahala yang dia kumpul lesap? Fariha tahu hukum seorang lelaki dan perempuan yang tidak menjaga batas, namun di antara mereka masih ada rasa hormat.  Mereka bersahabat, namun tidaklah sampai melebihi hal yang dilarang keras dalam Islam.

    Namun, ikhtilat di antara lelaki dan perempuan ... Allah larang juga, kan?

    Tiba-tiba, ada satu tangan lain menutup pili air dan menyedarkan Fariha. Kepala diangkat sebelum dia terkedu. Fathi.

    “Aku tahulah kau kaya, ayah pernah kerja bawah menteri tapi janganlah membazir air. Bukan kau yang bayar bil sekolah ni,” ujar Fathi selepas itu dan Fariha menarik tangannya. Riak wajah cuba dikawal sebaik mungkin.

    “Kau buat apa datang sini?”

    “Kau lupa ke Cikgu Nadya suruh kita pergi library lepas rehat? Dia nak kita try main scrabble tu sebelum lawan Jumaat ni. At least sekali,” kata Fathi dan Fariha diam.

    Entah mengapa mendengarkan kata-kata Fathi itu membuatkan rasa tidak senang yang menggigit dalam dada berdetak semakin kuat. Tiba-tiba, dia rasa tak selesa nak tengok muka Fathi. Bukan benci, tapi … rasa tak tenang.

    “Pergilah ambil barang apa kau nak angkut. Aku tunggu sini. Jangan angkut kerusi meja kau pula.” Fathi berkata dan menarik sedar Fariha semula. Gadis itu hanya mengangguk sebelum berlalu ke kelasnya semula tanpa bersuara.

    Buat kali pertama, dia berasa tidak senang berada dekat dengan Fathi setelah bertahun-tahun mereka bersahabat. 




SUASANA di antara mereka berdua sunyi-sepi. Hanya suara pendingin hawa yang berbicara di dalam ruang perpustakaan yang dihuni oleh mereka dan seorang guru yang sedang menyiapkan kerjanya sendiri. Fariha yang membisu itu langsung membuatkan Fathi turut sama diam. 

    “Fa.”

    Fariha mengangkat wajahnya. “Hurm?

    “Kenapa kau diam je hari ini? Aku ada buat salah ke dengan kau?” Akhirnya, Fathi meluahkan soalan itu. Kepala lelaki itu dihurung tanda soal apabila Fariha masih tidak membuka apa-apa bicara dengannya. Terasa seperti mereka saling tidak kenal, juga seakan-akan mereka sedang bergaduh dan melancarkan perang dingin.

    Fariha diam. Ingin menidakkan, namun dia seakan-akan mengeyakan. Menidakkan kerana bukan Fathi yang menjadi penyebab dia rasa tak senang, namun mengeyakan kerana Fathi semakin membuatkan dia rasa tidak senang.

    “Tak ada apa-apalah.” Fariha mengelak. 

    “Ke kau dah tahu pasal tu?” soal Fathi lagi dan Fariha terus menoleh.

    “Pasal apa?” Fariha bertanya semula. Tiba-tiba, dia teringat semula pertanyaan Julia di kelas tadi. Bagaimana jika Fathi bercinta dengan budak bawah mereka? Apa yang akan dia rasa?

    Sekarang, dia rasa sudah seperti menemui jawapannya. Dia kecewa. Sakit hati. Tapi, kenapa dia nak rasa semua tu?

    “Pasal Intan.” Fathi menjawab. 

    “Kenapa? Kau bercinta dengan Intan ke?” Terus meluncur soalan itu dari bibir Fariha dengan detak jantung yang tiba-tiba pantas bergerak. Nadanya menegang tanpa dia sendiri sedari. Fariha, kenapa kau tiba-tiba emosi ni?!

    “Kau merepek apa pula ni? Bila masa pula aku bercinta dengan Intan? Bercakap dengan perempuan pun aku jarang, inikan pula nak bercinta.” Fathi membalas selepas itu. Dahinya berkerut halus.

    “Yalah tu jarang bercakap dengan perempuan. Kau Ketua PRS, mesti banyak communicate dengan orang. Orang perempuan mesti selesa bercakap dengan kau sebab kau ketua PRS, pendengar setia,” ujar Fariha dengan bibir yang tanpa sedar termuncung sendiri. Dahi Fathi kian berkerut. Makin dalam fikirannya diburu tanda tanya.

    “Kenapa kau bercakap gaya macam kau tengah jealous ni? Kau jealous apa dengan aku?” tanya Fathi dan Fariha diam kali ini. Kelu kejap lidahnya mendengarkan pertanyaan yang terbit dari bibir Fathi. Wajah lelaki itu jelas menampakkan yang dia hairan. Liur ditelan kelat oleh Fariha sebelum matanya dilarikan.

    Dia semakin tidak selesa. Syaitan apa yang sedang menghasutnya sekarang? Tak pernah-pernah dia rasa tak senang duduk begini jika dengan Fathi. 

    “Entahlah, aku rasa aku tengah emo sekarang ni. Semua benda rasa tak betul.” Jawapan selamat diberikan. Buat menghapuskan hal yang barangkali bermain dalam kotak fikiran Fathi saat itu. 

    “Jadi, kau dah tahulah apa yang Intan cakap time dia balik kelas aku tadi?” tanya Fathi lagi. 

    Soalan itu kembali menarik pandangan mata Fariha. Giliran dia pula dihurung tanda soal. “Tahu apa?”

    Riak wajah Fathi seakan-akan berubah terkedu. Lantas dikawal semula dengan riak tenang. “Tak, tak ada apa-apa.”

    “Baik kau cakap, Fathi. Kau dah start bagi hint, jangan sampai aku terus tak bercakap dengan kau. Mood aku tengah tak baik ni.” Terus Fariha berkata dengan nada yang jelas tegang.

    Fathi diam, namun terbias riak serba salah pada wajah lelaki itu. Barangkali lidahnya berat hendak menceritakan apa yang dia tahu kepada Fariha.

    Akhirnya, Fathi membuka bicara. “Tadi lepas Intan balik kelas, dia nampak macam marah dengan kau. Dia cerita dengan Wina dengan Elin, dia serabut pasal nak cari tudung cream sedangkan esok dah nak lawan, tak sempat nak keluarlah apa semua. Dia marah kau sebab tak beritahu awal-awal yang kau tak ada tudung tu dan kau dah menyusahkan dia. Aku dengar daripada Emran, sebab tadi aku ke surau sekejap sebelum balik kelas.” 

    Fariha terdiam serta-merta mendengarkan hal itu. Riak wajahnya langsung berubah. Intan marah? Tapi sebelum dia keluar dari kelas Fariha tadi, dia okey saja? 

    “Mana Emran tahu? Entah-entah dia salah dengar kut,” kata Fariha. Masih tidak mempercayainya. Mungkin juga Emran tersilap orang, meski apa yang diceritakan tadi sangat-sangat tepat dengan hal yang berlaku.

    “Meja Emran dekat depan meja Intan, tu yang dia dengar. Maybe Intan ingat Emran tidur, sebab sebelum cikgu masuk lepas rehat, memang Emran selalu tidur.” Fathi membalas dan kali ini Fariha membisu. Hati yang tidak tenang tadi kian diburu rasa baharu yang mula membadai emosinya. Sedih. 

    Jadi, Intan marah dan salahkan dia sebab tudung tu tapi tidak tunjukkan di hadapan dia? Mengapa hati Fariha kuat mengatakan yang Intan seperti talam dua muka dengan dia? Baru kali ini dia tidak dapat pinjamkan tudung sebab tudung itu memang tidak ada dengannya, namun Intan sudah marah dan berkata begitu?

    Mata dipejam kejap sebelum perlahan-lahan Fariha menarik nafas. Sedalam yang mungkin dan ditahan. Sabar, Fa. Sabar. Orang tengah serabut tu, fahamlah kenapa dia marah dengan kau.

    Nafas dilepaskan selepas itu. “Tak apalah, silap aku juga sebab tak dapat tolong dia sedangkan dia se ….”

    “Bukan salah kau, Fa.” Fathi memintas dan terus mematikan kata-kata Fariha.

    “Bukan salah kau sebab tak dapat bagi dia pinjamkan tudung, tapi salah dia sebab selalu minta tolong kau, pinjam tudung kau sedangkan dia dah tahu dari awal yang pemakaian group koir sekolah memang sama sejak dua tahun lepas. Dia dah tahu tudung cream nak dipakai time lawan, but still bila dah last minute baru dia sibuk minta dengan kau. Dia kena cari tudung tu sendiri dari awal lagi dan tak perlu harapkan kau.”

    Fariha terdiam mendengarkan kata-kata Fathi itu. Nada Fathi saat ini terdengar keras dan tegang. Jelas yang Fathi tak suka dengan perkara itu.

    “Kau pun tak ada tudung tu bukan salah kau, bukan saja-saja nak hilangkan. Kakak kau ambil tanpa izin dan kau sendiri tak tahu. Dua-dua tu bukan salah kau, Fa. Stop salahkan diri sendiri untuk silap yang orang lain buat, and stop mengalah bila kau bergaduh dengan orang. Kau pandai berdebat, tapi bila ada masalah dengan orang lain, kau dulu yang mengalah. Tak pertahankan diri walaupun sebenarnya kau betul, orang tu salah. Mana rasa marah kau? Kenapa kau tak pertahankan diri kau?” Kali ini, makin jelas ketegangan pada bicara Fathi. 

    Fathi bukan tak suka, tapi dia marah.     

    “Aku cuma ….” 

    Jeda.

        “Aku tak suka nak bergaduh. Nak keruhkan keadaan. Aku benci. Baik aku mengalah, masalah cepat selesai dan tak perlu nak tayang muka masam lagi depan aku.” Fariha membalas selepas itu. Langsung tidak memandang ke arah Fathi.

    “Dan kau biarkan hak kau kena pijak, biarkan diri kau rasa yang kau memang teruk dan serba salah dekat orang sekeliling sedangkan yang bermasalah tu diorang?” Soalan Fathi itu membuatkan Fariha mengetap giginya dalam diam.

    Buat beberapa ketika, kebisuan menemani mereka berdua sekali lagi.

    “Aku cuma tak suka tengok kau tahan marah dan pendam semuanya, buat-buat macam kau okey. Kalau kau tak marah, diorang tak akan tahu yang kau tak suka diorang buat macam tu pada kau dan diorang akan anggap kau tak peduli pun kalau diorang buat lagi. Sesekali tunjuk marah kau tu, Fa. Kau ada hak untuk marah, jangan jadi baik sangat.” Fathi bersuara lagi, memecahkan semula tembok sunyi di antara mereka.

    Kelihatan Fariha hanya diam dan menyambung semula susunan perkataan bahasa Arab di atas papan Scrabble. Seakan-akan tidak mendengar apa yang Fathi katakan. Sibuk dengan dunianya sendiri.

    “Fa, jangan diam macam ni. A .…”

    “Kau buat aku makin sakit otak, Fathi. Baik kau diam. Aku tak ada mood nak bercakap atau dengar kau bercakap.” Kata-kata Fariha itu mematikan bicara Fathi. Wajah Fariha yang tegang membuatkan Fathi mengunci mulutnya.

    Suasana berubah janggal serta-merta.