Fa-Ro-Ha

BAB 4

SUDAH tiga hari Fariha dan Fathi tidak bertegur. Pergi balik sekolah pun, hanya Fathi yang berbicara dengan Haji Fuad atau Fariha yang bercakap dengan ayahnya semasa di dalam kereta. Langsung tidak ada perbualan di antara dua sahabat itu. Setiap petang pun Fariha tidak ke rumah sebelah seperti selalu. Hanya diam di dalam bilik atau bukunya diangkut untuk belajar di ruang tamu rumah.

Jelas. Ada perang dingin di antara mereka. 

    Namun, ada sesuatu yang Fariha berjaya temui sepanjang tiga hari mereka tidak bertegur sapa. Jiwa Fariha terasa lebih lapang, solatnya seakan-akan lebih tenang dan rasa kacau yang pernah mengganggu jiwa telah hilang. Namun, tidak dapat dinafikan yang dia juga ada terfikirkan Fathi. Apakah lelaki itu baik-baik sahaja?

    Sedikit sebanyak, kata-kata Fathi sebelum ini membuatkan dia melihat kebenarannya. Jika dia tidak zahirkan rasa yang terkumpul dalam dada, semua orang akan menganggap yang dia baik-baik sahaja. Hakikatnya, rasa itu terlalu erat mencengkam jiwa dan dia membencinya.

    “Fa?” 

    Fariha menoleh ke belakang apabila suara Haji Fuad menerpa gegendang telinga. Ayahnya itu baru pulang dari surau hujung simpang. Tangannya naik menanggalkan kopiah di kepala.

    “Kamu tak pergi study dengan Fathi lagi hari ini?” soal si ayah. Hairan melihat si bongsu yang sudah beberapa hari tidak ke rumah Tokma seperti selalu.

    “Malaslah nak berjalan. Kaki sakit,” balas Fariha, berdalih.

    “Kaki sakit ke hati yang tengah sakit?” 

    Fariha terdiam serta-merta. Ah, sudah! Macam mana ayahnya tahu?

    Haji Fuad tersenyum nipis lalu melabuhkan duduk di sofa. Dia menghadap ke arah Fariha yang bersila di atas karpet dengan buku-buku SPM yang berselerak di atas meja. “Ayah tahu, ada something jadi antara kamu berdua, kan? Dalam kereta, kamu berdua langsung tak bercakap macam selalu walaupun kamu berdua nampak biasa je bila bercakap dengan ayah.”

    Tajam betul mata si ayah.

    “Ayah.”

    “Ada apa ni, Fa?” soal ayahnya lembut. 

    “Fa sebenarnya sebelum ni tiba-tiba rasa macam … ralat. Minggu lepas Hajar tanya, Fa ada apa-apa ke dengan Fathi sebab kitorang nampak rapat, kan? Pergi balik sekolah dengan ayah, lepas tu kadang-kadang masuk pertandingan sama-sama termasuklah pertandingan Scrabble BA yang kami nak lawan esok. Fa kata tak ada apa-apa antara kitorang sebab Fa pun tahu ayah mesti tak suka kalau Fa bercinta. Fa pun tak suka sebab bercinta tu bukannya Tuhan suka, tapi lepas tu Hajar kata, kitorang tak jaga ikhtilat. Itu pun Tuhan tak suka. Fa terus tersentap.” Fariha bercerita panjang.

    Haji Fuad pula hanya mengangguk kecil. Mulut dikunci, setia mendengar luahan anaknya.

    “Lepas tu Isnin hari tu, Ju pun mention benda yang sama. Kitorang tak jaga ikhtilat, so sama je dosanya bila Fa kata bercinta tu berdosa. Lepas tu kitorang ada gaduh sikit sebab Fathi marah Fa pasal kawan. Tak payahlah cerita yang tu, sebab Fa tak suka nak ingat balik. Jadi ... itulah yang buat Fa dengan Fathi sampai sekarang dingin.” 

    Fariha melepaskan nafas berat perlahan. “Tapi sepanjang tiga hari Fa tak tegur dia, Fa rasa macam … tenang. Tak bertegur dengan dia buat Fa rasa macam Fa buat benda betul dengan jauhi dia. Sebab Fathi tu, dia orang baik. Baik sangat. Fa tahu hari-hari dia bangun qiam dengan Tokma. Fa rasa kalau kami terus berkawan dan tak jaga ikhtilat dengan dia, Fa rasa macam Fa dah buat dosa.” 

    Saat itu, senyuman di wajah Haji Fuad terukir nipis. Lebar. “Betullah tu apa yang Fa buat. Fa jauhkan diri daripada dia lepas Tuhan dah bagi teguran pada Fa melalui dua kawan Fa dekat sekolah, dan rasa tenang tu pula bukti yang Fa dah buat benda betul. Kalau kita buat benda dosa, walaupun kita puas, kita akan tetap rasa tak tenang. Walaupun kita kaya, kita akan tetap rasa tak cukup. Hakikatnya tenang itu hanya akan datang bila kita buat apa yang Dia suka, sebab ketenangan dan kebahagiaan sebenar tu hanya datang daripada Dia.” 

    “Jadi maksudnya Fa … dah tak boleh berkawan dengan Fathi lagi ke?” soal Fariha selepas itu. Entah mengapa, soalan tersebut menghadirkan rasa pedih dalam jiwanya. Menghadirkan satu rasa takut untuk kehilangan sahabat yang tak pernah tinggalkan dia sejak kecil sehingga sekarang.

    Satu-satunya sahabat yang kekal setia, pada saat yang lainnya talam dua muka.

    “Boleh, tapi kena ada batasnya. Ayah tak larang kamu nak berkawan dengan Fathi, sebab ayah sendiri nampak Fathi tu memang betul-betul jaga kamu. Ayah percaya kalau satu hari nanti Fa kahwin dengan dia, dia akan jaga Fa lagi baik daripada ayah jaga Fa,” kata Haji Fuad selepas itu.

    “Apa cakap macam tu, ayah? Siapa pun suami Fa nanti, dia tak akan pernah sama macam ayah. Ayah number one, always number one. No one can replace you.” Fariha berkata sambil menunjukkan angka satu di jarinya. Haji Fuad tertawa kecil melihat anak gadisnya yang seorang ini.

    “Tapi, ayah … kenapa baru sekarang Fa rasa macam ni? Dari dulu lagi Fa dah berkawan dengan dia, tak ada pun nak rasa macam ni. Selama ini rasa okey je bila dengan Fathi,” ujar Fariha selepas itu. 

    Kenapa sekarang?

    “Kita tak akan pernah tahu apa yang Tuhan rancang, Fa. Ada benda datang awal supaya kita tak terus buat silap, dan ada benda datang lewat sikit supaya rasa sesal tu lebih dan buat kita lagi berusaha untuk minta maaf pada Tuhan.” Haji Fuad membalas dan kali ini, Fariha membisu.

    Benar juga apa yang dikatakan si ayah. Semuanya berlaku pada masa yang baik pada pandangan Tuhan, bukan pandangan manusia.

    “Tadi sebenarnya Fathi jumpa ayah dekat surau,” kata Haji Fuad tiba-tiba.

    Mata Fariha terus membulat memandang ke arah Haji Fuad. Nama yang terbit itu tiba-tiba membuatkan jantung Fariha kembali laju berdegup. “Dia berjemaah di surau ke tadi?”

    “Hari-hari dia ke surau waktu asar kalau Fa tak study di rumah dia.” Kata-kata Haji Fuad membuatkan Fariha terkedu. Jadi, betullah yang Fariha sudah menjadi penyebab pahala Fathi berkurangan?

    “Oh .…” Fariha mengangguk kecil selepas itu. Matanya kembali fokus pada latihan di dalam buku. Kepalanya menunduk. 

    “Fathi tanya pasal Fa.” Haji Fuad berkata lagi, dan untuk kali yang kedua, Fariha tersentak. Namun, sedaya mungkin cuba disembunyikan riak itu daripada terzahir. Ya Allah, ayah ni! Beritahu sajalah apa yang ayah nak beritahu tu. Jangan buat anak ayah berdebar teruk macam ni. Heart attack sebelum usia karang, naya!

    “Dia tanya apa dekat ayah?” Fariha menyoal.

    “Dia tanya kamu marah dia lagi ke? Esok nak pertandingan scrabble BA, tapi dah beberapa hari kamu tak bercakap dengan dia. Susah kalau teammate tak communicate ni,” balas Haji Fuad selepas itu. 

    Scrabble BA bukan macam debat kena banyak bincang time pihak lawan tengah bagi hujah. Scrabble dia sunyi senyap je, tak keluar suara pun. Lagipun, Fa rasa .…” Satu perkara bermain dalam fikiran gadis itu. 

Betul ke apa yang terlintas dalam fikirannya saat ini?

    “Fa nak start jaga apa yang sepatutnya Fa jaga antara kitorang.” Fariha menyambung selepas itu. Jiwanya terasa berat hendak berkata begitu. Takut hendak kehilangan Fathi yang tak ubah seperti abang buatnya. Namun, jika Tuhan sudah menegurnya begini, takkanlah dia hendak membutakan mata lagi hanya kerana takut kehilangan lelaki itu?

    Fariha masih sedar siapa dirinya, dan siapa Tuhan. 

    “Tapi sekurang-kurangnya beritahulah dia apa yang patut dia tahu.” Kata-kata Haji Fuad itu menarik perhatian mata Fariha. Dahinya berkerut halus.

    “Maksud ayah?” 

    “Beritahu dia kenapa kamu tiba-tiba nak jauhkan diri daripada dia. Jangan buat dia tertanya-tanya, kenapa Fa tiba-tiba tak nak bercakap dengan Fathi. Kesian budak tu ayah tengok. Tiba-tiba je kamu dah tak nak kawan dengan dia. Nanti dia fikir dia dah buat salah lain dengan Fa,” balas Haji Fuad dan buat seketika Fariha membisu. Sejujurnya hati dia sendiri berasa berat untuk membuat keputusan ini. 

    “Esoklah Fa beritahu dia. Lepas habis game esok ke, lusa ke. Tengoklah macam mana,” kata Fariha dan Haji Fuad tersenyum nipis. Dia dapat melihat sesuatu yang lain daripada jawapan Fariha saat ini.

    “Fa sebenarnya marah dengan Fathi sebab benda lain, kan?”  Soalan itu sekali lagi membuatkan Fariha terkaku kejap.

    “Ayah rasa bukan sebab yang Fa cerita tadi saja Fa jauhi Fathi. Mesti ada sebab lain. Masa ayah tanya dia tadi, dia kata ada yang jadi antara korang, dia nak biar Fa sendiri yang cerita dekat ayah. Dia tak ada hak nak cerita apa yang Fa simpan selama ni,” ujar Haji Fuad lagi dan semakin membekukan gadis itu. Riak wajah Fariha berubah tanpa sedar.

    “Apa yang Fa simpan?” tanya Haji Fuad, lembut. 

    Kali ini, jantungnya berdetak laju bukan kerana Fathi. Namun, kerana dia risau jika … hal yang dia sembunyikan selama ini akan memburukkan keadaan jika ia terlepas dari bibirnya.

    “Fa?” Si ayah sekali lagi menyeru dan Fariha memandangnya kekok. 

    “Fa … tak tahu nak cerita macam mana.” Fariha berkata sebelum mengetap bibir sendiri. Terasa begitu banyak yang dia pendam dan simpan daripada pengetahuan sesiapa dalam dunia ini kecuali Hud Fathi. Hanya lelaki itu yang tahu hal yang dia simpan namun lelaki itu tidak tahu berapa banyak yang sudah dia pendam. 

    “Entahlah, ayah. Fa cuma rasa … Fa ni tak pandai nak marah orang. Kadang-kadang macam orang bodoh pun ya juga. Apabila orang minta tolong, Fa tak pernah kata ‘tak boleh’. It is always ‘Yes, of course’. Tapi bila Fa nak minta tolong orang lain, lebih banyak ‘tak boleh’ daripada ‘ya’. Lepas tu bila something happens dan Fa sebenarnya boleh marah orang tu sebab memang dia salah, at the end Fa sendiri yang mengalah dan kata Fa yang silap. Semuanya sebab Fa tak suka nak bergaduh. Lagi suka settle cepat, so that tak banyak masalah lain akan timbul.”

    Fariha tersenyum tawar. “Tapi kadang-kadang Fa rasa … macam Fa terlalu baik dengan orang lain sedangkan orang lain buat baik dengan Fa kadang-kadang je. Fathi pun kata, Fa ni terlampau baik sampai tak pernah marah orang walaupun memang orang tu yang salah. Sebab Fa tak pernah marah dan always mengalah tu jugalah, orang tu akan buat lagi salah yang sama dengan Fa sebab fikir Fa tak kisah pun dengan apa yang dia buat.”

    “Jadi, Fa terasa sebab Fathi marah?” duga Haji Fuad.

    “Sebab gaya dia bercakap tu macam Fa tak boleh terus jadi orang baik. Tapi dalam masa yang sama, Fa rasa apa yang dia kata tu pun betul juga. Fa baik sangat, sampai orang terlalu berharap dengan Fa yang Fa ni mesti and will definitely help them. So, Fa … tak tahulah, ayah. Nak jadi baik, kena pijak. Nak jadi jahat, dibenci pula. Susah rupa-rupanya hidup ni, kan ayah?” Rungutan kecil Fariha ketika itu membuatkan Haji Fuad tersenyum lembut. 

    “Dah nama pun dunia, ini bukannya syurga yang free tanpa masalah. Nak hidup tenang, senang sampai bila-bila cuma di syurga je. Jangan dicari semua tu pada dunia, sebab tak akan jumpa benda tu sampai bila-bila.” Kata-kata Haji Fuad itu membuatkan Fariha memegang dada sendiri.

    “Pedas betul ayah, tapi heartwarming juga.” Fariha berkata dan sekali lagi Haji Fuad tersenyum nipis.

    “Sebab tu dalam hidup ni, jangan jadi baik untuk orang. Jadi baik untuk diri kamu sendiri, sebab kamu yang nak dan bukannya untuk kamu dapat balik baik yang kamu beri pada orang. Jangan pernah sesekali berharap pada orang kalau kamu nak rasa hidup tenang. Jadi baik untuk Tuhan, dan untuk diri kamu sendiri. Cukup Tuhan tahu kamu orang yang baik, dan tak perlu buktikan pada orang pun.”

    Lalu, si ayah menyambung. “Apabila Dia yang Maha Baik dah tahu, then it’s enough. Nanti baik hati kamu tu Dia akan balas semula dengan cara Dia, tak semestinya dengan membuatkan manusia lain juga buat baik dengan kamu. Yang pastinya, orang baik akan sentiasa diberikan yang terbaik oleh yang Maha Baik. Allah itu kan Maha Adil. Yakin je dengan Dia.” 

    Fariha tersenyum lebar kemudiannya. Orang baik akan sentiasa diberikan yang terbaik oleh yang Maha Baik. Dia suka ayat itu.

    “Cumanya, apa yang Fathi ka ….” Belum sempat Haji Fuad menghabiskan bicaranya, ada suara lain mencelah di antara mereka.

    “Abang.” Kedua-dua mereka menoleh serentak. Kelihatan Puan Sarah mendekati ke arah mereka. 

    “Jom keluar kejap. Banyak juga yang nak kena topup tu sebab bulan ni ramai tempah kek dengan saya,” ujar Puan Sarah selepas itu dan Haji Fuad menoleh ke arah jam dinding. Jam 5 petang. 

    “Bolehlah, abang pun nak pergi isi minyak kereta.”

    “Fariha nak ikut ke nak tinggal?” Puan Sarah bertanya setelah mengangguk kecil dengan kata-kata si suami. Kelihatan Fariha menggumam kecil.

    “Rasa tak rajin nak keluar berjalan. Fariha nak kirim coklat jelah. Cadbury yang black forest ya, ibu. Jangan beli yang almond. Fariha tak suka kacangnya terselit dekat gigi.” Fariha membalas sebelum tersengih lebar. 

    “Jeli dalam black forest tu buat terselit dekat gigi, sama je macam coklat almond.” Puan Sarah menjawab namun Fariha menggeleng laju.

    “Alah, takmo takmo. Tak nak yang kacang. Nanti karang tumbuh gatal-gatal dekat kaki Fariha. Kurang lima ribu hantaran Fariha nanti,” seloroh Fariha dan lengannya terus ditepuk oleh si ibu. Berdesis Fariha sementara Haji Fuad hanya tertawa melihat mereka.

    Tanpa sedar, kata-kata Haji Fuad tadi mati tanpa menemui noktah dan akan kekal sepi begitu buat masa yang lama. Cukup lama.