Fa-Ro-Ha

PROLOG

PINTU dibuka, dan dia melangkah keluar dari bilik itu. Sapaan daripada orang-orang yang berada di situ dibalas dengan senyuman nipis. Manis terukir di wajahnya yang mulus. Akhirnya, dia mula meninggalkan kawasan itu.

    Ternyata takdir Tuhan memang penuh dengan kejutan yang mampu membuat kakinya longlai daripada terus menapak. 

    Namun, ia juga penuh dengan hikmah yang rapi tersimpan. Kelak akan tersingkap apabila tiba masanya. Cuma, untuk menanti ia tiba, adakah dia cukup kuat untuk bertahan? Dalam diam, nafas berat dilepaskan perlahan.

    Saat itu, telefon di dalam kocek seluar bergetar dan langsung mematikan derap kakinya. Kelam-kabut poket diseluk sebelum mengeluarkan telefon pintar. Nama ibu. Lantas diangkat tanpa menunggu lama.

    Tok tok tok, assalamualaikum, ibu!” Ceria nadanya memulakan bicara. Senyuman di wajahnya kian melebar. Langkahnya diteruskan.

    “Waalaikumussalam. Fariha dekat mana? Sihat tak? Lama tak call ibu, busy dengan assignment ya?” tanya si ibu di hujung talian. Fariha sempat memandang sekeliling sambil mengetap bibirnya sendiri.

    Rasa serba salah membelenggu hati. Dia tidak mahu menipu, namun buat masa sekarang, mungkin dia perlu sembunyikan dulu perkara ini. Keadaan kesihatan ibunya sejak dua menjak ini juga kian merosot. Fariha tidak mahu menambahkan lagi kerisauan di hati ibunya.

    “Dekat fakulti, baru lepas meeting sebab ada program kena handle tak lama lagi. Sorry, tak sempat nak call ibu.” Fariha menjawab selepas itu. 

    “Kamu tu, asyik study dengan handle program je kerjanya. Cubalah bawa tidur juga.”

    “Ibu ni, orang lain selalu nasihat anak untuk buat kerja sebab asyik tidur je. Tapi ibu terbalik pula. Ini melawan prinsip ibu-ibu seantero dunia.” Fariha ketawa.

    “Memang benda betul pun. Ada je benda yang dibuatnya, lepas tu kurang rehat. Cubalah bagi masa untuk diri sendiri tu berehat pula. Badan tu nak guna lama, tahu?” Kata-kata Puan Sarah itu membuatkan Fariha tersenyum nipis.

    Ada sesuatu yang sempat menyinggahi dada, namun pantas ditolak semuanya.

    Nanti, Fariha. Nanti.

    “Baik, ibu. Anakanda Fariha yang jelita ini menurut perintah. By the way, ibu tanya sebab nak Fariha balik rumah ke? Rindu eh?” tanya Fariha sambil tersengih. Ada tawa kecil yang terlepas dari bibirnya.

    “Macam-macamlah kamu ni. Ibu call ni sebab nak tanya, boleh ke pinjamkan kereta pada kakak kamu kejap? Sebab kereta dia rosak.” Permintaan si ibu itu menghentikan langkah Fariha yang sudah mendekati pintu keluar. 

    “Hah? Kereta kakak rosak?” Dahinya berkerut mendengarkan permintaan si ibu. 

    “Kakak kamu kata masa dia drive tadi, ada bunyi apa entah. Ibu pun tak tahu. Dia kata risau nak bawa. Jadi dia minta ibu tanyakan, boleh tak kalau dia nak guna kereta kamu sementara dia hantar kereta ke bengkel?” Puan Sarah membalas.

    Fariha membisu. Rasa dalam hati kian mencengkam, namun ditahan saja.

    Jika ibunya sendiri yang meminta, takkanlah dia mahu menolak? Dengan alasan apa yang boleh dia gunakan untuk tolak walaupun jauh di dalam sudut hati, dia tak ingin mengeyakan permintaan tersebut?

    ‘Lemahnya kau ni, Fa. Tak pandai tolak permintaan orang, lagi-lagi kalau orang itu ahli keluarga kau sendiri.’

    “Okey, ibu. Nanti … Fariha balik rumah kejap,” balas Fariha dengan senyuman yang terukir pahit. Dadanya sakit, namun dia tidak sanggup berkata ‘tidak’ kepada si ibu.

    Puan Sarah ialah syurga bagi Fariha, jadi mungkin dengan dia bersabar saat ini, Allah akan berikan syurga kepadanya. Ia tidak mustahil, bukan?

    “Okey, kalau macam tu ibu letak dulu. Hati-hati balik nanti. Assalamualaikum.” Akhirnya, Puan Sarah menamatkan panggilan mereka. Fariha diam, tidak bergerak dengan telefon yang masih melekap di cuping telinga. Senyuman lebar yang terukir sebelumnya perlahan-lahan sirna.

    They will look for you when they need something from you.

    Dunia memang tak adil. 

    Keluhan berat dilepaskan perlahan sebelum tangannya diturunkan daripada terus meletakkan telefon di telinga. Air liur ditelan perit dan mata kembali terpejam rapat. Jiwanya terasa dibelit erat sehingga dadanya terasa sesak oleh suatu rasa yang berkecamuk hebat.

    Saat matanya kembali celik, pandangan Fariha jatuh pada surat yang dipegang sejak tadi. Ditatap semula isinya sebelum birai mata gadis itu berkaca halus. Gigi diketap kuat meski bibir sudah menggigil perlahan.

    Ya Allah, sampai bila dia harus berkorban untuk semua orang begini? Siapa pula yang akan berkorban untuknya?

    Fariha terus menggeleng laju. “Astaghfirullah, astaghfirullah. Ya Allah, jangan. Jauhkan aku daripada negative thoughts itu, ya Allah. Jauhkan, jauhkan. Allahuakbar.”

    Ingat pesan ayah dulu, Fariha.

    Orang baik akan sentiasa diberikan ganjaran yang terbaik oleh yang Maha Baik.

    “Allah lebih tahu, Fariha. Allah lebih tahu.” Diusap perlahan dadanya sendiri, cuba untuk meredakan fikiran yang hampir lemah dipukul badai emosi. Jangan kalah dengannya, Fariha. You can fight this.

    Surat itu kembali ditatap sebelum dia meronyokkan kertas itu tanpa menunggu lama. Terus saja dibuang ke dalam tong sampah berdekatan. Namun buat seketika, matanya tertancap ke arah surat tadi.

    Tak apa, Fariha. Tak lama dah pun nak balik. Sementara itu, jadi orang baik ya, wahai diri sendiri. Sebab Allah suka orang baik kerana Dia sendiri Tuhan yang Maha Baik. 

    Tapi … kau tak mahu jumpa dia lagi ke, Fa? Dia, yang memorinya masih tersimpan dalam fikiran. Dia, yang bernama Hud Fathi. 

    Soalan itu tanpa sedar mengeruhkan riak wajah Fariha.