Fa-Ro-Ha

BAB 1

7 tahun lepas

“CIKGU, bukan saya tak nak, tapi minggu lepas saya baru je balik dari kem pengawas tu. Lama saya skip kelas. Saya rasa ralat nak keluar kelas lagi.” Dengan berat hati, Fariha berkata. Dipandang wajah Cikgu Nadya dengan riak serba salah. Dia tahu, guru itu mengharapkannya namun pelajaran juga tidak boleh dia abaikan. 

    Nak SPM tahun ni, jangan macam-macam. Karang tak dapat straight A macam yang sekolah impikan, malu! 

    “Ya saya faham tu Fariha, tapi pertandingan ni tak ambil banyak masa awak pun. Awak pun boleh berlatih sendiri saya rasa, dan saya yakin awak mesti boleh buat. Lagipun, ini peringkat sekolah saja, Fariha. Insya-Allah tak akan ganggu sangat pelajaran awak dan akan makin membantu awak dalam subjek bahasa Arab.” Cikgu Nadya memujuk lagi.

    Fariha menggaru hujung kening. Dipandang kertas di hadapannya. Ruangan nama untuk pertandingan scrabble Bahasa Arab kosong tanpa sebarang nama sedangkan acara lain sudah penuh. Sampaikan ada nama yang terkeluar dari kotak. Melimpah!

    Lama Fariha membisu. Dia ingin menolak, namun Cikgu Nadya seakan-akan mengharap agar dia menyertai pertandingan ini. Hesy, siapalah yang cadangkan game scrabble Bahasa Arab ini jadi pertandingan untuk bulan bahasa sekolah? Aku nak santet dia.

    Erm, yalah. Saya masuk. Cikgu doakan saya dapat bahagikan masa untuk study dengan benda-benda lain, ya? Risau juga ni, banyak sangat acara yang saya join nak dekat tarikh SPM ni,” balas Fariha dan Cikgu Nadya terus mengukirkan senyuman lebar.

    “Insya-Allah, moga Allah mudahkan urusan kamu sentiasa. Jangan risau, Fariha. Kalau kamu banyak mudahkan urusan orang, Allah pasti akan mudahkan urusan kamu. Cikgu tulis nama kamu, ya?” ujar Cikgu Nadya sebelum mencapai sebatang pen. Nama Nashwatul Fariha akhirnya mengisi ruang kosong di situ.

    Namun, ada ruang kosong lagi di bawah nama Fariha.

    Fariha tersengih tanpa sedar. “Erm, cikgu.”

    “Ya, Fariha.” Cikgu Nadya mengangkat wajahnya.

    “Saya nak ajak kawan saya lagi seorang join juga, boleh ke? Takkanlah saya je yang isi nama, kan? Firqah (kumpulan) kita kena hantar at least dua nama juga macam firqah lain.” Fariha berkata selepas itu. Takkanlah Firqah Bukhari nak hantar seorang saja wakil? Macam mana kalau Firqah Muslim, Abu Daud dengan Nasa’ie hantar lebih? Dua? Tiga? Empat?

    Malulah firqah hijau mereka nanti.

    “Boleh, tapi kamu nak ajak siapa? Rasanya dah tak ada orang nak isi.”

    Sengihan Fariha melebar. “Fathi.”




“AKU tak nak.”

    Fariha tarik muka. “Fathi, jomlah.”

    “Kalau bukan duit yang aku dapat, aku tak nak.”

    “Sejak bila kau jadi materialistik ni? Astaghfirullah, anak muda. Kamu kena bangkit daripada dunia yang lena dalam kenikmatan harta dan takh ….” 

    Fathi mencelah. “Jangan sampai aku ruqyah kau dekat sini, Fa.”

    Fariha tersenyum saja. “Jomlah, Fathi. Kenapa kau tak nak join? BA je, bukannya susah pun.”

    “Kau pun tahu aku dengan subjek Bahasa Arab tu macam beruk jantan jumpa kucing betina. Mana boleh kahwin.” Fathi membalas selepas itu. Masih tidak mengalihkan mata dan tangannya yang sedang fokus menjawab soalan graf matematik.

    “Mesti kau beruk jantan tu, kan?” Fariha tergelak. 

    Lantas, Fathi memandangnya tajam. “Kalau aku beruk, kau pun beruk juga, Fa.”

    “Eh, apahal aku pun beruk juga?” Fariha menyoal hairan. Mata dijegilkan. 

    “Dah tu, sahabat cerminan diri, kan? Kalau aku beruk jantan, kau beruk betina. Eloklah tu. Perangai pun dah lebih kurang sama. Tak boleh langsung duduk diam dalam kelas. Asyik-asyik keluar,” balas Fathi sebelum menyambung latihan matematiknya semula. 

    Fariha terus memandang si pemuda, tak puas hati. Suka-suka dia je cakap aku ni beruk betina? Ada ke beruk secantik dia? Ha sudah, Fariha. Tak penat ke puji diri?

    At least aku keluar tu bukannya tak ada tujuan. Aku mengharumkan nama sekolah, bukannya aku keluar tu ponteng ke apa ke.” Fariha menjawab sebelum mengetuk buku Fathi seperti sedang mengetuk pintu.

    “Jomlah, Fathi. Aku seorang saja wakil untuk firqah kita. Dibuatnya firqah lain hantar tiga ke empat orang, kau fikir aku boleh ke lawan empat otak sekali gus?” soal Fariha selepas itu. Masih tidak mahu menyerah untuk terus memujuk Fathi.

    “Kau pakai spek, so maksudnya kau ada empat mata. Kalau kau ada empat mata, maksudnya kau ada dua otak. Okey dah tu nak lawan firqah lain,” seloroh Fathi dengan wajah tenang, seperti yang dikatakan itu ialah satu fakta.

    “Mana cukup dua otak nak lawan empat otak. Kau pun pakai spek, ada empat mata juga. So, kau pun ada dua otak. Baru cukup nak lawan firqah lain. Fair and square!” Fariha menjawab semula dan Fathi memandangnya pasrah. Namun, Fariha hanya tersenyum lebar.

    “Pandai betul kau menjawab eh?” tanya Fathi.

    “Sahabat cerminan diri.” 

    Fathi mencebik. “Sheesh, kau curi ayat aku.”

    There is no copyright reserved for you.” 

    Fathi menggeleng kecil. Susah betul berlawan cakap dengan orang debat ni. 

    “Yalah, aku join. Bagi tahulah Cikgu Nadya nanti.” Fathi membalas sebelum kembali menumpukan perhatian pada buku latihannya. Fariha sudah tersenyum lebar sebelum matanya tertancap ke arah figura seseorang yang menapak di tepi jalan rumah itu.

    “Ayah!”    

    Fathi terus menoleh sementara Haji Fuad turut sama memalingkan wajah ke arah mereka. Wajah yang kian berkedut ditelan usia itu kelihatan manis apabila mengukirkan senyuman nipis. Langkah kaki dibuka ke arah mereka. Fathi lantas bangun dan menyalami lelaki itu.

    “Ayah baru balik surau ya?” soal Fathi, memulakan perbualan di antara mereka.

    “Haah, baru balik.” Haji Fuad membalas sambil mengangguk kecil.

    “Lambatnya ayah balik. Dah pukul 5:30. Ayah baru balik surau ke ayah pergi medang dekat simpang dengan geng-geng Wak Aqib dulu ni?” Fariha menyoal sambil acah-acah bercekak pinggang. Haji Fuad melepaskan tawa kecil melihat ulahnya.

    “Macam mana Fa tahu ni? Habislah, kantoi pula ayah dengan Fa.” Haji Fuad menjawab sebelum tawa masing-masing bergema di ruang udara.

    Ayok, ayah. Nanti Fa kantoikan pula dengan ibu,” kata Fathi dan Haji Fuad tersenyum manis, menghabiskan tawa kecilnya.

    “Ayah cuma bincang sikit dengan orang-orang surau pasal raya korban nanti. Alang-alang tu medanglah sekali, sebab warung dekat sebelah surau je. Kamu dah solat ke belum?” soal Haji Fuad sambil memandang mereka.

    Kedua-dua mereka tersengih. “Belum.”

    “Lailahaillallah. Dah 5:30 ni? Dah, jom balik dengan ayah. Esok sambung belajar dekat sekolah,” ajak Haji Fuad dan Fariha mengangkat tabik.

    “Okey! Kejap, Fa kemas barang-barang.” Fariha membalas dan bergerak ke tempatnya tadi. Lantas dimasukkan saja semuanya ke dalam beg. Disumbat dan zipnya ditarik namun tersekat.

    “Ayah, kok enggak bisa dizip.” Fariha terus berkata sambil memandang Haji Fuad. Lelaki itu sudah ketawa sebelum mendekati Fariha. Buku panjang yang disumbat akhir sekali tadi dicapai.

    “Dah Fa sumbat semua macam black hole.” Si ayah menjawab. 

    “Taklah, sebab time pergi tadi elok je semua Fa masukkan. Tak ada pula zipnya stuck.”

    “Baca bismillah tak?” Haji Fuad menjawab dan Fariha menarik wajah mencuka. Terasa!

    Fathi yang memerhatikan ketika itu hanya tertawa kecil melihat mereka berdua. Ada-ada sajalah dua beranak ni. 

    Bye, Fathi! Aku balik dulu. Kirim salam pada Tokma,” ucap Fariha selepas menyandang begnya di bahu kiri. Tudung yang sudah senget dibetulkan semula.

    “Okey insya-Allah. Jangan lupa mesej Cikgu Nadya.” 

    Roger that.” Fariha mengangkat tabik dan bergerak meninggalkan laman rumah Fathi itu beriringan dengan Haji Fuad. Buku yang diambil oleh Haji Fuad tadi dipegang dan dibawa sahaja. Tampak juga dua beranak itu rancak berbicara sepanjang kaki mereka bergerak menuju ke rumah mereka di sebelah.

    Tanpa sedar, Fathi tersenyum segaris. Ada rasa hiba yang datang menjengah jiwanya ketika melihat dua susuk itu berjalan menjauhinya. Terbayang dalam kepalanya, jika dia juga akan manja dengan arwah ayahnya seperti manjanya Fariha dengan Haji Fuad. 

    “Hud,” seru Tokma dan Fathi menoleh kemudiannya. Kelihatan Tokma sedang berjalan mendekatinya dan sempat juga mengerling ke arah dua beranak tersebut. Segaris senyuman nipis dia ukirkan di wajah.

    “Hud fikirkan tentang arwah ibu dan abah ke?” tanya Tokma. Daripada riak wajah Fathi yang keruh, dia dapat meneka perkara yang sedang bermain dalam kepala cucunya itu. Pasti Fathi sedang membayangkan dirinya di tempat Fariha yang masih mempunyai kedua-dua ibu bapa, sedangkan Fathi sudah kehilangan orang tuanya dalam kemalangan jalan raya sejak berumur tiga tahun.

    Fathi tersenyum tawar. “Hud terfikir … kalau arwah abah dan ibu masih ada, Hud akan happy macam Fariha ke tak ya?”

    Tangan Tokma naik mengusap lembut bahu cucunya. “Tak apa, Allah lagi sayang arwah abah dan ibu Hud. Jangan banyakkan sangat ‘kalau-kalau’ ni. Kita manusia, tak elok persoalkan takdir Tuhan.”

    Sekali lagi, Fathi tersenyum segaris. Kemudian, dia bangun dari kerusi dan memeluk bahu Tokma.

    “Tak apalah, asalkan Hud masih ada Tokma, bersyukur sangat dah. Abah dah tak ada pun, masih ada ayah Fariha yang anggap Hud macam anak dia sendiri. Siap pakej boleh panggil ‘ayah’ sekali. Acik Sarah pun baik dengan Hud. Bolehlah tu, buat ghaso-ghaso,” seloroh Fathi sebelum ketawa sendiri. Tokma pula hanya menyiku cucunya itu. Fathi melepaskan tawa sekali lagi.




“FARIHA.” Namanya diseru, membuatkan Fariha yang sedang mengemas buku itu mengangkat wajah. Dipandang ke arah Hajar yang sedang menapak mendekati mejanya.

    “Apa?” 

    “Fathi kata Cikgu Nadya nak jumpa kau berdua sekarang, dekat bilik guru.” Hajar berkata dan dahi Fariha berkerut halus. Namun dia mengangguk kecil sahaja. Mungkin Cikgu Nadya mahu bincangkan sesuatu tentang pertandingan scrabble tu.

    Jangan dia suruh mereka berlatih lepas habis waktu rehat nanti sudahlah. Fariha dah banyak sangat tertinggal kelas Matematik dan Sains. Sudahlah kedua-dua subjek itu yang paling susah untuk dia sebatikan dengan jiwa.

    “Okey, thanks beritahu aku, Hajar.” Fariha berkata sambil tersenyum nipis.

    “Kau ni, memang betul tak ada apa-apa ke dengan Fathi?” Soalan Hajar itu kembali membuatkan Fariha memandangnya. Tanda soal kembali menghurung kotak fikiran. 

    “Kenapa ton suara kau bertanya tu macam … kau tak suka? Kenapa? Kau suka Fathi ke?” usik Fariha dan Hajar memandangnya tajam. Terus saja Fariha ketawa kecil sebelum bangkit dari kerusi. Mejanya dikemas. 

    “Aku dengan dia kawan jelah, cuma mungkin sebab aku dengan dia dah kenal sejak kecil lagi, lepas tu kami berdua berjiran, sebab tu aku dengan dia rapat. Mana ada apa-apa antara aku dengan dia,” balas Fariha selepas itu. Membersihkan fikiran Hajar yang dapat dia rasakan semakin ligat beranggapan bukan-bukan tentang mereka.

    Mereka cuma kawan rapat sejak kecil. Itu sahaja. Noktah!

    “Yalah, kawan pun tapi kau berdua selalu pergi balik sekolah sama-sama. Lepas tu sama-sama pandai, sama-sama masuk competition. Banyak lagilah yang sama-samanya. Dah macam couple, kau tahu? Aku rasa satu sekolah nampak benda yang sama. Penolong ketua pengawas bercinta dengan ketua PRS. Uih, panas berita tu kalau betul. Fathi tu dahlah ramai fans,” ujar Hajar.

    Fariha menggeleng kecil. “Tak kuasalah aku nak couple dengan dia. Benda haram tu cuma buang masa aku je. Baik aku study daripada sibuk bercinta.”

    “Tapi kau selalu buat apa-apa dengan dia tu haram juga, sebab kau tak jaga ikhtilat dengan dia.” Kata-kata Hajar itu mengejutkan Fariha. Riak wajahnya juga berubah tanpa sedar. Jiwanya tersentak. 

    Kenapa kata-kata Hajar yang bersahaja itu terasa begitu keras menghentaknya? 

    “Fa!”

    Kedua-dua mereka menoleh ke muka pintu. Di situ, Fathi bersandar sambil menyilangkan tangan pada dada. Lengan baju PJK dilipat hingga ke paras siku. Nampaknya seperti sudah agak lama Fathi berada di situ.

    “Jomlah, Cikgu Nadya dah panggil. Aku tak nak pergi jumpa dia sorang-sorang,” ujar Fathi selepas itu. Lelaki itu menunggu dia rupa-rupanya. 

    “Ha, kejap, kejap.” Fariha membalas sambil mencapai dompet di dalam beg sebelum memandang Hajar.

    “Hajar, aku pergi dulu, eh? Bye!” Sempat Fariha melambai dan Hajar mengangguk saja. Lantas tubuh itu bergerak ke muka pintu, mendekati Fathi yang masih menanti. 

    “Lain kali pergi jelah dulu, tak perlu tunggu aku. Cikgu Nadya je pun, bukannya jumpa pengetua.” Fariha berkata lalu mereka membuka langkah menuju ke bilik guru.

    “Bilik guru perempuan kut, of course aku segan kalau aku masuk situ tak ada geng. Dahlah minggu lepas ada cikgu praktikal masuk. Lawa-lawa pula tu. Risau aku,” balas Fathi dan Fariha menjelingnya tajam. Meragukan sungguh ayat Fathi tu. 

    “Kau yang merisaukan atau cikgu-cikgu baru tu yang merisaukan? Aku rasa kau lagi membimbangkan sekarang ni.” Fariha membalas dan Fathi ketawa saja. 

    “Kau nak pergi makan dulu ke sebelum jumpa cikgu? Ke nak beli apa-apa dulu dekat koperasi?” soal Fathi, membuka topik lain di antara mereka. Bangunan koperasi sekolah yang diperkatakan itu, sedang dikerumuni ramai pelajar. Nak masuk payah, nak keluar pun susah nampak gayanya.

    “Aku tak suka makanan kantin, tapi koperasi macam ramai orang sangatlah. Aku takut kalau aku masuk nanti tak jumpa jalan keluar,” ujar Fariha selepas itu. Risau memikirkan keadaan di dalam bangunan yang terbina sederhana kecil itu. Jika dilihat dari luar saja sudah kelihatan sesak, di dalam bagaimana pula agaknya ya?

    “Aku pun risau benda yang sama. Kau tu dahlah pendek. Terjatuh karang kena pijak terus penyek. Memang aku baca talkin terus dekat situ,” balas Fathi selamba dan Fariha sekali lagi memandangnya tajam.

    “Nak sangat aku mati awal ke?”

    “Eh jangan, nanti aku tak tahu nak tumpang siapa untuk pergi dan balik sekolah.” Fathi terus menjawab. Makin geram jiwa Fariha dibuatnya. Oh, sebab itu saja lelaki ini tak nak dia meninggal awal? Habis sekolah nanti bolehlah?

    “Tapi, kau tak payahlah masuk situ. Aku dah belikan untuk kau,” kata Fathi tiba-tiba dan tangannya yang sejak tadi tersimpan di dalam kocek seluar dikeluarkan. Sebungkus roti coklat dihulurkan kepada Fariha, yang sudah memasang wajah hairan.

    “Aku sebenarnya sempat masuk koperasi tadi sebelum datang kelas kau. Time tu koperasi belum banjir lagi dengan manusia-manusia tu, so aku sempat beli untuk kau. Dah agak kau mesti nak beli something dulu sebelum jumpa cikgu,” ujar Fathi dan Fariha tersenyum lebar.

    Roti coklat kegemarannya!

    Huluran itu akhirnya disambut baik. “Thanks duh, macam mana kau tahu tekak aku nak makan roti hari ini?”

    “Bukan hari ini saja tekak kau nak telan roti. Aku rasa hari-hari kau makan roti coklat tu. Muka pun dah macam roti. Penuh yis sana sini.” Kata-kata Fathi itu mematikan senyuman lebar Fariha. Ya Allah, sakitnya hati dengar!

    Fathi ketawa sebelum Fariha memukul lelaki itu dengan bungkusan roti pada tangannya. Fathi lantas berdesis sakit. 

    “Tembam itu maksudnya bahagia. Kau apa tahu? Kurus keding sangat macam ni ingat sihatlah? Kena terbangkan dek angin karang, memang aku lambai cakap ‘Have a safe flight’,” balas Fariha dan Fathi terus melepaskan tawa.

    “Aku keding ke? Mana ada duh. Kau tak nampak ke muscle aku ni? Setakat nak angkat berat macam weightlifter tu, celah bulu hidung je aku boleh buat.” Fathi berkata sambil tersenyum bangga. Fariha di sisinya sudah mencebik.

    “Angkat berat dosa sendiri pun belum tentu mampu, ada hati nak angkat berat macam weightlifter.” Selamba Fariha memerli. 

    Fathi terus memegang dada sendiri. Tergamam. “Allahuakbar, pedas gila ayat sentap kau, Fa. Ya Allah, Astaghfirullah rabbal baraya.”

    Fariha meledakkan tawa. Langsung tidak diendahkan mata-mata yang memandang ke arah mereka di situ.