Memadam Cahaya

Memadam Cahaya

Prolog

7 tahun lalu...

SANG gadis duduk seorang diri di lobi hospital. Setelah mendengar berita daripada doktor yang memeriksanya, dia kini hilang arah tuju. Dia tak tahu hendak ke mana, tak tahu dia patut ke mana.

Sekotak rokok yang ada di dalam totebegnya dikeluarkan. Kotak rokok itu digenggam kemudian kepala ditunduk dan mata dipejam. Selama ini dia sentiasa bercakap tentang mati seolah-olah kematian itu adalah sebuah jenaka. Dia begitu yakin dia tak mahu hidup di dunia sampailah dia menerima berita daripada doktor yang dia langsung tidak jangka. Kini fikirannya mula terasa dilanda ribut taufan.

Dia takut.

Takut jika kewujudannya betul-betul terhapus dari dunia ini.

Takut dengan masanya yang setiap detik semakin berkurang.

Kepala diangkat kemudian matanya yang sudah berbahang dibuka kembali. Nafas lemah ditarik dan dihembus. Telefon pintar yang ada di dalam poket seluar dikeluarkan lalu dihidupkan. Nombor telefon mamanya dicari. Sejenak berfikir, panggilan akhirnya dibuat. Sang gadis melekapkan telefon ke telinga.

“Maaf... nombor yang anda dail berada di luar kawasan. Sila...”  

Panggilan pantas dimatikan. Nombor telefon ayahnya pula dicari dan diketik kali ini.

“Maaf... nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi. Sila cu...”

Panggilan dimatikan sang gadis kemudian dia cuba menelefon kedua-dua orang tuanya lagi. Dia cuba dan terus cuba namun panggilannya tetap tidak berangkat. Pandangan sang gadis semakin kabur dan sepasang matanya kini sudah berkaca-kaca menahan empangan daripada pecah.

Penat mencuba, sang gadis akhirnya bangun dari duduk dan terus membuang telefonnya ke dalam tong sampah berhampiran. Dia menapak keluar dari bangunan hospital sambil mencucuh rokok di tangan. Papan tanda dilarang merokok langsung tidak dihiraukan.

Sejenak berjalan menjauh dari kawasan orang ramai, sang gadis menyisipkan batang rokok ke celahan bibirnya. Asap rokok keluar berkepul-kepul menemani esakan sang gadis yang semakin lama semakin rancak.