PROLOG
MATANYA merenung skrin komputer. Satu baris ayat diperlukan untuk memulakan kisah tersebut. Namun, benaknya terasa kosong daripada aksara yang perlu ditaip pada skrin tersebut.
Novel yang dibaca untuk menambahkan kosa kata.
Drama yang ditonton untuk mengembangkan idea.
Buku ilmiah yang ditelaah untuk menyampaikan maklumat yang penting.
Semuanya tidak dapat membantunya untuk menulis satu baris yang pertama. Adakah dia memang tiada bakat dalam penulisan? Atau itu hanya akan tinggal sebagai cita-citanya sahaja.
Dia mengeluh lemah.
“Kau buat apa, Kejora?” tegur Cinta yang baru sahaja pulang dari kerja.
“Aku nak tulis semula cerita Kejora dan Cinta. Tapi …” beritahu Kejora.
Cinta merapati meja kembarnya.
“Kau nak tulis semula cerita ibu?” soal Cinta walaupun sudah membaca tajuk yang tertera.
“Aku nak karang kisah cinta ibu dan ayah. Kalau mereka tak dapat bersama dekat dunia ni, sekurang-kurangnya mereka boleh jumpa dekat dunia aksara. Aku nak mereka hidup bahagia sama-sama,” luah Kejora.
Cinta menarik kerusi untuk duduk bersebelahan dengan kakak kembarnya.
“Kau takkan dapat tulis cerita Kejora dan Cinta. Kau tak akan dapat jadi penulis macam ibu,” kata Cinta.
“Apa ni, Cinta? Bagi semangatlah sikit dekat aku yang nak ikut jejak langkah ibu ni.” Kejora mahu merajuk.
“Dengarlah dulu apa yang aku cakap. Kau tahu, kan? Yang Kejora dan Cinta satukan ayah dan ibu. Sehingga mereka namakan kita berdasarkan tajuk novel tu.”
“Tu sebab mereka sangat sayangkan kita. Tanpa Kejora dan Cinta, kita mungkin takkan lahir dekat dunia ni.”
“Kalau kau nak tulis kisah Kejora dan Cinta semula, kau perlukan aku, Kejora. Sebab Kejora dan Cinta sudah ditakdirkan bersama. Mereka tak dapat dipisahkan,” ujar Cinta.
Kejora senyum.
“Hero nama Kejora. Heroin nama Cinta,” cadang Cinta.
“Idea yang bagus. Tapi lebih baik guna nama lain. Kejora dan Cinta tu nama kita. Aku tak sanggup nak bayangkan kau jadi lelaki,” sanggah Cinta. Mukanya dikerunyuk tanda tidak suka.
Kejora sengih. Betul juga apa yang dikatakan oleh kembarnya itu.
“Ivan Achilles dan Nadine Asteria?” cadang Cinta.
“Tu nama ibu dan ayah. Tapi aku suka!” Kejora terus bersetuju.
“Macam mana mereka dapat jumpa ya?”
“Macam ibu dan ayah, mereka jumpa di pertengahan masa dan dimensi. Menafikan semua realiti untuk kekal bersama buat selama-lamanya.”
“Kerana Kejora dan Cinta telah ditakdirkan bersama,” ucap Kejora dan Cinta serentak.
Jari Kejora mula lincah bermain di papan kekunci. Dengan adanya si adik kembar di sisinya, semuanya jadi mudah. Idea mula berlumba-lumba menjengah minda. Cinta ligat berceloteh di sebelahnya. Menyumbangkan ayat yang paling bermakna untuk dia terjemahkan dalam susunan aksara.
Mereka ibarat satu jiwa.
Cinta bercerita.
Kejora mengait aksara demi aksara untuk menghasilkan sebuah karya. Kisah yang akan dia ceritakan pada dunia tentang cinta yang terlarang berkaitan dengan dua buah dunia berbeza.
Realiti yang bermimpikan fantasi.
Aksara yang menjelma bagaikan mimpi.
Kisah si antagonis rindukan bintangnya. Mengimpikan bahagia bersama si pemegang kunci takdirnya. Bintang yang mampu mengubah hidup dan matinya.
Cinta si bintang yang tidak rela menamatkan sebuah cerita. Sakit sebuah perpisahan saat si antagonis melupakan dirinya. Dia tamatkan segala-galanya dengan sebuah perkataan. Namun, watak itu hidup di hadapan mata.
Air mata menitis di pipi Kejora.
Cinta seka dengan jari-jemarinya.
“Kalau ibu ayah bahagia di dunia aksara mereka, macam mana dengan kita?” ujar Kejora dengan sebak.
“Lenyaplah kita daripada kisah mereka.”
Mereka berpelukan. Air mata jatuh berjuraian di pipi. Sakit di dada usah dikata. Jika ini sahaja yang mampu dilakukan, mereka sanggup demi Ivan dan Asteria. Kejora dan Cinta, mereka berdua tetap ditakdirkan bersama buat selama-lamanya.