Roseanna

PROLOG

TANGAN dihulurkan, mencapai gelas berkaki tinggi yang dibawa oleh pelayan. Cocktail buah itu kemudian dibawa ke bibir lalu disisip. Mata memerhati sekeliling dengan pandangan yang tidak boleh ditafsir.

‘Apa kau buat ni Anna?’ Mata ditahan daripada terjuling ke atas. Kalau bukan sebab majlis anniversary ayahanda Herman dan bonda Zaidah, jangan harap dia sudi menjejakkan kaki ke sini.

Atmosfera sekeliling terasa menyesakkan, membuatkan dadanya sempit, susah untuk bernafas.

Aura ‘fake’ terlalu kuat sampai dia jadi muak. Walaupun cuma dihadiri oleh rakan terdekat yang seramai 150 orang, tapi dia yakin 80% manusia di dalam ballroom itu datang sebab ada agenda yang tersendiri. Politik, bisnes, aset, cari pasangan, yada ... yada.

Dan Roseanna yang tercampak sekali dalam majlis ini, terperangkap sebab mengenang budi. Sebab Helen ialah kawan baiknya zaman belajar dahulu, merangkap adik angkat tersayang. Helen siap warning awal-awal, kalau dia tidak datang, putus saudara. Memang automatik jadi orang asing.

Mahu dipancung oleh ayahanda dan bonda? Sepanjang umurnya hingga menginjak angka 28, mak ayah si Helen yang banyak berjasa dalam membentuk Anna menjadi manusia. Tidak mengenang budi namanya kalau dia tidak datang ke majlis malam ini.

‘Tapi kau datang sini pun, memang ada niat sendiri, kan?’ Senyuman nipis terukir sebaik dia teringat sesuatu. Matanya kembali memerhati sekeliling, cuba mencari wajah yang selama sebulan kebelakangan ini cuma dilihat melalui gambar.

Hye, awak–”

Zap!

Oh my gosh, sorry! Saya tak sengaja!” Anna kelam-kabut mengelap kemeja putih berbalut sut Armani yang sudah selamat ditambah corak cocktail

‘Pusing laju sangat dah kenapa? Kan bala dah muncul!’

Nah, it’s okay.”

Anna tidak berhenti mengelap kemeja itu walaupun usahanya sia-sia. 

‘Lap guna tangan macam mana nak kering!’ 

Kepala didongak, menatap pemilik sut yang menjadi mangsa cocktail tadi. Seketika dia terkedu apabila mata dengan iris coklat itu memandangnya dengan senyuman di bibir.

I’m so sorry.” Ayat itu diucap perlahan. Mata kembali merenung kemeja yang semakin comot. Seketika, dia meringis. Buat hal betullah di tengah-tengah majlis orang.

My fault. Saya yang tegur sampai awak terkejut. I’m sorry.” Lelaki itu tergelak kecil, hajat asalnya, mahu menegur sebab perempuan ini macam sesat dan tidak jumpa jalan, alih-alih teguran terlebih mesra itu membawa padah. 

“Saya Irfan.”

“Roseanna.” Anna mengukir sengih, wajah Irfan ditatap sebelum pandangan dilarikan. Terasa semacam dengan renungan lelaki itu.

“Fan, aunty cari kau tadi.”

Tumpuan mereka beralih ke arah seseorang yang sedang mendekat. Lelaki dengan sut hitam yang gayanya sama seperti Irfan, cuma lebih santai. Tanpa sedar, Anna meniliknya diam-diam.

“Okey.” Irfan membalas pendek. Wajah Anna ditatap lagi.

See you again dekat mana-mana.” Irfan sengih, jelas menampakkan lesung pipi di sebelah kiri. Anna tidak membalas, sekadar tersenyum menghantar Irfan yang semakin menjauh. Pandangannya kemudian singgah pada lelaki yang masih statik berdiri, tidak jauh dari tempat dia dan Irfan tadi.

“Apa?” Anna menyoal dengan dahi berkerut. ‘Tengok muka aku gaya nak bunuh orang tu dah kenapa?’

“Tak ada trik lain ke nak buat? Tumpahkan minuman ke baju orang tu dah lapuklah.”

‘Excuse me?’

Telinga Anna berdesing.

Sorry?” Anna tergelak sinis. ‘Ingat aku tak ada kerja ke nak buat scene kotorkan baju orang?’

You siapa nak sound orang macam you nampak apa yang jadi?” Tenang dia menutur walaupun hati sudah mula naik geram. Menyampah betul dengan manusia spesies begini.

Lelaki itu tersenyum senget. Setapak dia melangkah, mendekatkan jarak mereka.

Behave yourself, lady…” Kepalanya dicondongkan sedikit, berbisik di telinga Anna sehingga gadis itu refleks, menjarakkan diri.

“... your innocent face can’t hide your cunning eyes.”

Serentak itu, lelaki tadi terus menjarakkan kedudukan dan menjauhinya tanpa menoleh. Anna bungkam. Rahangnya bagai mahu jatuh. Debarannya bertambah dua kali ganda berbanding ketika ternampak wajah Irfan awal tadi.