Roseanna

BAB 1

SERBUK kopi dimasukkan ke dalam cawan. Cukup sekadar kuantiti yang dia nak, cawan itu dipenuhkan pula dengan air panas sebelum kakinya menapak ke kaunter dapur. Tablet yang sedari tadi terpampang dengan e-mel, kembali diperhatikan.

“Pergi An-Nur ke hari ni?” Helen menyoal. Gadis itu mengambil tempat di kerusi tinggi bertentangan dengan Anna. Kopi yang masih berasap nipis dibawa ke bibir.

Puff!

“Pahitnya!” Nak tersedak! Dengan muka berkerut, bibir dilap dengan belakang tangan. 

“Dalam dunia ni, ada manisan yang bernama gula. Tak kenal ke?” Dengan gaya terkhianati, Helen menyelar. Dia kemudian bangun dari duduk, tangannya menarik cawan dan membancuh minuman sendiri.

Anna tidak membalas, hanya sengih ditarik. “Aku dah cukup manis.” Yakin ayat itu disebut.

Narcissistic!” 

‘Nasib baik cantik.’

Helen kembali melabuhkan duduk. Kali ini bersama segelas Milo di tangan. Seketika, ruang menjadi sepi.

“Aku ada meeting sampai tengah hari. Lepas tu petang nak survey barang.” Skrin tablet digelapkan dan kopi dihirup perlahan.

“Kau nak stay sampai bila?” Anna menyoal, risau jika rakannya akan kebosanan menunggu. Cawannya diletak semula.

“Aku tak ada nak buat apa sangat pun hari ni. Aku teman kau survey baranglah.” Helen menyudahkan minumannya. Melihat Anna yang sudah berdiri, tubuh kakak angkatnya itu dipandang dalam senyap. Kalau hendak dibandingkan dengan dirinya, Helen lebih tinggi beberapa inci daripada Anna yang dikurniakan tubuh langsing. Jadi, dia tidaklah nampak rendah mana kalau mereka berjalan seiring.

Matanya menilik Anna dari hujung kepala hingga ke kaki yang berbalut dengan stoking. Selendang gaya loose yang berwarna hitam dipadankan dengan kemeja labuh. Persalinannya dilengkapkan dengan seluar denim putih, menutupi kakinya yang langsing. Dilihatnya gadis itu menunduk, menyarung Andy Leather Sneakers berwarna putih.

“Renung aku macam tu dah kenapa?” Anna menegakkan tubuh. Wajah Helen yang tidak berkelip ditatap pelik.

“Kenapa kau single?” Riak tidak berperasaan Anna ditatap. Mahu tidak pelik? Anna cantik, berkerjaya, dan bijak pula. Bukan saja-saja bonda letak Anna sebagai salah seorang ahli tertinggi di Rumah Kebajikan An-Nur kalau tidak melepasi syarat. Extra-double degree in the making dia pun jika boleh digantung sebagai modal, ditayang kepada bakal mertua, sah akan diterima tanpa syarat. Mengapa dia terlebih rajin sampai buat double degree pun, Helen tidak faham.

“Kenapa kau tanya?” Anna menyoal semula. Pintu rumahnya ditolak dan dia keluar sambil diekori oleh Helen di belakang.

“Roseanna, 28, single walhal boleh kata full pakej kecuali tak ada lesen memandu. Aku langsung tak pernah dengar kau bercinta. Ke kau memang ada sorok daripada aku?” Kaki sudah masuk ke dalam kereta pun, Helen masih dengan soalannya.

“Entahlah. Aku tak pernah terfikir lagi nak tambah komitmen.” Jawapan jujur diberi sambil sengih dilontar untuk Helen.

“Kau straight, kan?” Sambil menurunkan handbrake, Helen menyoal. Kereta yang dipandu perlahan bergerak keluar dari pekarangan rumah.

“Kau putus fius ke apa?” Anna buat muka. Helen yang tergelak dijeling. 

“Kalau pun aku ‘belok’, percayalah kau mangsa pertama aku buat girlfriend.” Anna tarik sengih.

“Yalah sangat. Tempoh hari bukan main aku nampak kau sembang dengan Fathur.” Helen mencebik. 

‘Ingat aku rabun jauh tak nampak? Siap main bisik-bisik lagi.’

“Fathur?” Anna menayang muka kelam. Otak ligat memikirkan gerangan pemilik nama yang disebut oleh Helen. 

‘Aku ada kenal mana-mana manusia nama Fathur ke?’

“Hesy, nak kata lembab nanti marah. Fathur, lelaki yang main bisik-bisik dengan kau masa majlis anniversary bonda tempoh hari. Yang sekali dengan Irfan.” Kalau Anna cakap dia tidak ingat, Helen sanggup menunjukkan gambar, biar sel-sel otak perempuan di sebelahnya ini berhubung.

Anna senyap, cuba mengingat. Irfan dia tahu, sebab lelaki itu yang menjadi mangsa simbahan cocktail tidak terancang.

Pap!

“Oh, yang tu.” Anna mengangguk perlahan. Mamat yang menuduh kononnya dia mahu menggoda Irfan. Nama lelaki itu Fathur rupa-rupanya. Mengenang wajah yang tersenyum sinis itu, hatinya berbahang tiba-tiba.

Aih, lain macam je bunyi.” Helen jongket kening. 

“Ada apa-apa yang jadi ke?” Wajah Anna dijeling.

“Tak ada apa-apa pun. Okey je.” Anna malas mahu bercerita. Pada dia, benda tidak penting yang boleh merosakkan mood macam itu sebaiknya tidak payah dibahas. Hanya buat kurang pahala sebab dia akan menyumpah dalam hati. 

Helen senyap. Aura Anna sudah semacam. Dilihatnya gadis itu kembali fokus pada tablet. Mahu buat persediaan untuk meeting nanti agaknya. Helen meneka sendiri. Kurang dari sejam kemudian, mereka sudah selamat menjejak lantai pintu depan Rumah An-Nur. Salam diberi dan mereka melangkah masuk, disambut oleh Kak Hanis yang bertanggungjawab sebagai warden di rumah kebajikan itu.

“Bulan ni kita ada menerima penambahan dua orang penghuni baru.” Kak Hanis menghulurkan fail yang berisi maklumat dua penghuni yang dimaksudkan. 

“Yang rambut panjang tu nama dia Zulfa. Seorang lagi tu Sabrina.” Anna mengangguk perlahan, tanda dia mendengar. Biodata gadis bernama Zulfa dibaca dalam hati. Sedikit berkerut dahinya apabila melihat butir peribadi yang tertera.

“Dia mualaf ke?” Anna menyoal sambil mata terus membaca catatan di bahagian bawah kertas bersaiz A4 di tangan.

Ha’ah, family tak boleh terima dia convert, tu yang datang sini. Hari tu pun kita dah panggil Ustaz Ahmad untuk lafaz syahadah.” Ringkas Kak Hanis memberi penerangan.

Anna senyap. Entah mengapa dia terasa semacam, pastinya bukan rasa yang negatif. Terharu mungkin? Belum pernah lagi Rumah An-Nur menerima penghuni berstatus mualaf. Salah satu sebab dia sanggup menjadi orang kanan bonda dan menghabiskan masa hampir setiap hari di Rumah An-Nur ini, memang sebab penghuni-penghuninya dan kisah di sebalik kedatangan mereka ke sini. 

Rasa ‘belong’ seolah-olah dia pulang ke rumah, sebab mereka berkongsi hikayat yang hampir serupa.