Roseanna

BAB 2

TEPAT jam dua petang, Anna dan Helen menyusuri deretan kedai yang menjual pakaian. Membuat survey harga kain yang mahu dijadikan baju kurung dan jubah untuk penghuni Rumah An-Nur yang seramai 18 orang sekarang ini. Termasuklah dua penghuni baharu yang masuk.

“Nak beli yang sama warna atau lain-lain?” Helen menyoal sambil tangan membelek-belek baju kurung yang elok tergantung.

“Aku ingat nak buat jubah yang warnanya seragam.” Anna membalas tanpa menatap Helen. Dia pun sama, sibuk membelek kain yang bergulung di tempatnya.

“Nak buat marhaban ke apa?” Helen kerut dahi.

“Bukanlah. Mana tahu kalau ada program dekat sekolah, tak adalah budak-budak tu asyik pakai baju sama je. Lagipun bulan lepas pun kita dah buatkan baju kurung seragam untuk semua.” Anna membalas.

“Eh, aunty!” Bunyi jeritan Helen membuat Anna mengangkat pandangan daripada memerhati kain yang dipegang. Sedikit berkerut dahinya melihat Helen berpeluk mesra dengan seorang wanita tidak jauh dari tempat dia berdiri.

Aunty, kenalkan ini Anna. Anna, ini Aunty Dahlia, kawan bonda.”

“Apa khabar aunty?” Anna senyum sebelum tunduk menyalami tangan wanita yang dipanggil Aunty Dahlia itu.

“Sihat, Alhamdulillah. Kamu berdua cari baju ke?” Aunty Dahlia menyoal kemudian. Wajah Anna ditatap sebelum beralih memandang Helen.

“Helen teman Anna je, aunty. Dia nak survey harga kain untuk buat baju. Aunty tahu kan Rumah An-Nur? Hah, untuk budak-budak dalam rumah itulah.” Helen berbaik hati menjawabkan pertanyaan itu.

“Oh, ni ke budaknya? Aunty ingat! Bonda kamu ada beritahu yang dia serahkan pengurusan rumah tu dekat orang lain. Anna rupanya.”

Anna tidak tahu apa jawapan yang sesuai. Hanya sengih yang diukir.

Aunty datang seorang je? Uncle tak ikut?” Helen memerhati sekeliling, mencari jika lelaki yang disebut itu ada sekali.

Aunty datang dengan Fathur. Tadi dia pergi jawab call, tu yang aunty merayap sekejap.” Aunty Dahlia tergelak kecil.

Eh? Anna terkedu sekejap.

‘Fathur? Fathur yang Helen sebut dalam kereta pagi tadi ke?’ 

Tiba-tiba dia rasa tidak sedap hati.

Aunty nak isi perut kejap lagi ni. Jomlah sekali.”

‘Ah sudah!’ Anna jadi kelu untuk menjawab. Helen pun sudah bagi isyarat mata, tidak tahu hendak menolak atau menerima pelawaan itu.

“Tak apa, aunty belanja. Jomlah.” Tangan Helen digenggam.

Err ... okey.” Helen tampal senyum plastik sebelum dia diseret oleh Aunty Dahlia, keluar dari kedai. Sempat dia menoleh ke belakang, meminta ampun pada Anna yang sudah memejamkan mata dengan nafas dihembus berat. Mahu tidak mahu, digagahkan juga kaki mengikut jejak langkah Aunty Dahlia dan Helen yang dah jauh ke depan sehinggalah mereka tiba di food kiosk.

Mango smoothie di dalam gelas, dikacau dengan penyedut minuman. Riak muka sedaya upaya ditahan daripada menunjuk reaksi yang dia jelas mahu cepat-cepat pergi dari situ. Sepuluh minit berlalu, Anna lebih berfungsi sebagai pendengar. Sesekali dia menjeling Helen yang rancak bersembang dengan Aunty Dahlia. ‘Lupa agaknya aku ni wujud lagi dekat sini.’

Parents Anna duduk mana?” Soalan daripada Aunty Dahlia sedikit mengejutkan Anna. ‘Itulah, berangan!’

Seketika, Anna mahupun Helen tidak memberi respons. Anna menggigit bibir bahagian dalam, mencari ayat untuk menjawab. Dalam hati, dia sudah merungut. ‘Dalam banyak-banyak soalan, mengapa soalan yang satu ini juga yang ditanya?’

“Patut pun cari dekat atas tak jumpa.”

Satu suara menegur, mengalih perhatian semua. Dalam hati, Anna menarik nafas lega. Rasa mahu sujud syukur sebab tidak perlu menjawab soalan Aunty Dahlia tadi. Tetapi saat matanya menangkap kelibat manusia yang menyampuk itu, Anna rasa mahu pitam.

“Ummi kan dah mesej, bagi tahu ummi duduk sini?” Aunty Dahlia membalas dengan dahi berkerut.

“Tak perasan.” Yang dibebelkan hanya tersenyum nipis. Kerusi di sebelah umminya ditarik sebelum dia melabuhkan duduk.

“Ummi terserempak dengan Helen dan Anna, terus ajak makan sekali. Abang tak nak pesan apa-apa?” Aunty Dahlia sudah bersedia untuk memanggil pelayan. Fathur tidak membalas. Pandangannya tidak lepas daripada memandang wanita yang sedari tadi tunduk merenung skrin telefon, bertentangan dengan tempat duduknya. 

Kenapa rasa familiar?

“Abang? Ummi tanya ni?” Teguran ibunya menarik Fathur daripada fikiran sendiri.

“Makanlah, abang tak lapar. Dah makan tadi sebelum gerak.” Fathur menyandarkan tubuh ke belakang. Sempat matanya menjeling gadis yang duduk di sebelah Helen itu.

“Anna, inilah Fathur. Anak sulung Aunty Dahlia yang aunty cakap tadi.” Helen membuka mulut.

Anna tayang sengih plastik. Sedaya upaya dia mengelak daripada memandang Fathur di depan. Melihat Helen yang sedang menahan gelak, Anna rasa tangannya ringan sahaja mahu mencubit anak dara bonda itu. Masa darurat macam ini pun, dia sempat lagi mahu mengusik!

“Oh, Anna.”

Fathur tersenyum senget yang entah mengapa pada pandangan Anna, herotannya terlihat sinis. 

‘Nak cari gaduh lagi depan ummi dia?’ Jelingan tajam diberi.

“Kenal ke?” Helen menyoal lagi. Wajah Anna dijeling sebelum menatap Fathur semula. Aunty Dahlia yang duduk di depannya turut senyap menunggu jawapan.

“Tak pun, pernah terserempak masa majlis Uncle Herman tempoh hari.” Tenang Fathur membalas.

Anna tersenyum sinis. ‘Pernah terserempak? Lupa agaknya siapa yang sound siapa malam tu.’ Kalau setakat pernah terserempak, tidaklah Anna panas hati sekarang.

Aunty tak perasan pun Anna ada sekali?”

“Malam tu Anna tak lama pun. Kena balik awal sebab esoknya ada hal.” Wajah Aunty Dahlia ditatap.

“Ada hal?” Helen tayang muka blur. ‘Hal apa? Elok je aku dengan Anna balik sekali lepas majlis malam tu selesai.’

Anna besarkan mata, memberi isyarat supaya Helen tidak buat perangai bendul tidak bertempat.

“Oh, ya! Anna kena uruskan hal Rumah An-Nur.” Helen sengih. Tangan di bawah meja menggosok paha yang rasa berbirat bahana dicubit oleh orang di sebelah. Aunty Dahlia di depannya mengangguk, langsung tidak perasan yang dia sudah menjadi mangsa penderaan Anna.

“Kerja dekat Rumah An-Nur ke?” Fathur menyoal setelah agak lama senyap. 

Helen dan ibunya dijeling sekilas, dua wanita itu sudah hanyut dalam dunia sendiri, bersembang entah pasal apa.

“Kenapa tanya?” Anna menyoal semula. Lancar mulutnya berfungsi tanpa sempat dia menahan nada sinis sebaik ayat itu dilafazkan.

Fathur jongket bahu. 

“Saja tanya, mana tahu kenal dengan pengurus rumah tu sebab kena settle beberapa hal dengan dia untuk event bulan September nanti.”

Anna kerut dahi. ‘Bila masa ada event bulan September? Ke aku yang amnesia, tak perasan masa meeting dengan Kak Hanis tadi?’

Event apa?” Anna tidak dapat menahan diri daripada menyoal.

“Kenapa nak tahu?” Fathur jongket sebelah kening.

Anna ketap bibir. ‘Last, Anna. Jangan duduk semeja atau terserempak dengan mamat depan kau ni lagi. Kerjanya asyik buat darah mendidih saja!’

By the way, Irfan pun join sekali event tu nanti. Saja bagi tahu, kutlah you nak prepare apa yang patut.”

Nada Fathur kedengaran biasa tetapi dengan maksud yang double meaning itu, Anna sedaya upaya menahan hati daripada menyembur anak sulung Aunty Dahlia ini. 

‘Tak habis-habis lagi ke nak mengungkit? Kisah sangat pasal aku dengan Irfan dah kenapa?’

Thanks sebab inform, tapi rasanya tak perlu kut. Macam you cakap, malam tu kita cuma terserempak. Tak perlu rasanya sampai nak inform benda tak penting.” Anna mengukir senyum yang jelas plastik.

“Apa yang you nak daripada Irfan?” Fathur menyoal terus. Tubuhnya ditundukkan sedikit bagi mendekatkan jarak antara mereka. Wajah Anna direnung tajam walaupun dia tersenyum.

“Kenapa you sibuk? Kalau pun nak Irfan, you tak ada kena-mengena.” Anna membalas renungan Fathur.

“Irfan tak pernah serius dengan mana-mana perempuan. Kalau tak nak jadi mangsa, better back off.” Fathur menghembus nafas sebelum menegakkan duduk.

Then, what if kalau I tukar Irfan dengan you?” Anna jongket kening. 

Fathur dilihatnya seakan-akan terkedu. Senyuman sinis yang mahu terukir ditahan. Puas hati dapat senyapkan Fathur. Rasa menyampah pada orang di depannya ini sudah tidak boleh dibawa berbincang.