Roseanna

BAB 3

SELENDANG dikemaskan pada kepala sambil kaki menapak turun ke ruang tamu. Malam ini, dia terpaksa bermalam di rumah bonda sebab Helen malas mahu drive balik. Mahu harapkan Anna, alamatnya tidak sampai ke rumah sendirilah jawabnya.

“Ayahanda mana, bonda?” Soalan diajukan sebaik melabuhkan duduk di sofa. Ruang tamu itu hanya ada bonda dan Helen yang ralit dengan rancangan di TV.

“Ayahanda dalam bilik bacaan rasanya, bonda malas nak kacau.” Bonda membalas sebelum menutup buku yang dibaca. Tumpuannya beralih menatap Anna.

Meeting tadi semua okey?” Soalan diajukan. Walaupun pengurusan sudah diserahkan kepada Anna, tetapi apa-apa perkembangan, dia kena ambil tahu juga.

“Alhamdulillah okey. Kak Hanis bagi tahu ada dua orang penghuni baru. Zulfa dan Sabrina.” Anna menghulurkan tablet miliknya, meminta bonda melihat sendiri maklumat peribadi dua penghuni baharu Rumah An-Nur itu.

Seketika hanya suara dari TV yang memenuhi ruang. Bonda sibuk dengan bacaannya, Helen dan Anna pun sama sibuk menonton cerita yang ditayangkan.

“Sabrina ni pregnant berapa bulan?” Bonda menyoal tanpa mengalihkan pandangan daripada tablet. Masih membaca baris ayat yang terpapar.

“Nak masuk tiga bulan. Dia takut nak balik rumah family, tu yang dia datang An-Nur. Yang Zulfa tu pula mualaf tapi family tak terima dia convert.” Ringkas Anna menjawab. Tadi sempat juga dia bersembang sekejap dengan dua penghuni baharu itu, membuat sesi ice breaking. 

“Tadi Anna pergi survey barang, kan?” Bonda menyoal lagi.

Ha’ah. Esok Anna kena pergi An-Nur lagi, nak buat final check untuk barang dengan Kak Hanis. Lusa dah boleh shopping apa yang patut.” Bonda dilihatnya sekadar mengangguk.

“Bonda, nak tanya sikit boleh?” Anna betulkan duduk, menghadap bonda.

“Hujung bulan September ada apa-apa event ke?”

Dahi bonda berkerut, cuba mengingat agaknya. 

“Oh, bonda baru ingat. Ada orang nak bagi biasiswa untuk budak-budak Rumah An-Nur tu, buat sambung belajar habis SPM nanti. Tapi pasal tu Anna tak payah pening kepala, bonda sendiri yang akan uruskan.”

Anna mengangguk faham walaupun fikiran masih ligat memikirkan apa kena-mengena event itu dengan Fathur siang tadi. Dia berdeham, wajah bonda ditatap lagi.

“Yang dengan Fathur tu ke bonda?” Sedikit teragak Anna menyoal. Bonda merenung dia dengan kening sebelah terangkat. 

Aiseh, salah soalan ke?’

“Kenal Fathur ke?” Bonda tersenyum nipis, sebelum matanya kembali merenung skrin tablet di tangan. 

“Seingatnya, bonda tak pernah pun sebut pasal Fathur lagi?” Ingatkan malam ini baru nak maklumkan dekat Anna, rupanya Anna dah tahu dulu.

“Tadi terserempak dengan Aunty Dahlia masa survey barang. Fathur yang bagi tahu pasal event bulan September ni.” Anna sudah tidak tahu reaksi macam mana yang sesuai. Helen yang sedang menahan sengih, dijeling. Tidak membantu langsung!

“Anna nak uruskan ke? Kalau nak, bonda tak kisah.” Bonda menyoal. Tablet milik Anna dipulangkan semula, wajah gadis itu ditatap menunggu jawapan.

Anna menggeleng laju. 

“Eh, tak! Anna tanya je.” Putus fius ke nak libatkan diri dengan mamat tu? Jumpa baru dua kali pun dia sudah rasa mahu meletup, tidak boleh dibayangkan keadaannya kalau kena berurusan berminggu-minggu nanti.

“Bonda tanya je tapi kalau Anna tak nak, tak apa.” Bonda menepuk perlahan bahu Anna sebelum bangkit. 

“Bonda nak jenguk ayahanda sekejap, kamu berdua jangan tidur lewat sangat.”

Anna menghantar kelibat bonda yang memanjat anak tangga sehingga hilang daripada pandangan. Nafas yang ditahan entah sejak bila, dihembus perlahan. Tubuhnya kemudian disandarkan ke sofa.

Fikirannya menerawang memikirkan tentang Rumah An-Nur. Beberapa bulan belakangan ini Anna memang sibuk dengan macam-macam hal. Dengan dia yang kena buat PJJ lagi, memang perlu bijak bahagikan masa. Tidak penat ke? Kalau sudah kerja kenapa dia masih mahu sambung belajar? Bukannya dia tidak pernah merasa konvo degree macam mana.

Anna tarik senyum yang nyaris tidak kelihatan. Dia seronok buat PJJ sambil uruskan An-Nur. Penat memang penat, tapi itu yang dia mahu. Rumah An-Nur ialah rumah keduanya. Rumah yang buat dia rasa ‘belong’ walaupun penghuni dalam rumah itu ber-binti-kan nama yang berbeza. 

Sebab penghuni dalam rumah itu, walaupun jalan cerita hidup masing-masing tidak sama, tetapi mereka berkongsi rasa yang sama. Faham keadaan satu dengan yang lain.

“Kau ada kelas kan esok?” Helen memecah sunyi. TV sedang menayangkan iklan. “Esok Sabtu.” Pendek dia menyambung.

“Ada, awal pagi.” Anna membalas sebelum menggeliat, meregangkan badan yang sudah terasa lenguh. “Aku balik rumah lepas subuh nanti kut. Minta tolong Pak Man hantarkan.” Sebab dia tahu, selagi belum setengah jam selepas subuh, Helen tidak akan bangun daripada tidur. Sebab itu juga subuh selalu terlajak.

“Anna, nak tanya.”

Anna senyap, menunggu soalan Helen.

“Kenapa kau sanggup buat double degreeIslamic study pula tu? Maksud aku, kau dah ada skrol degree in accounting kut?” Helen sumpah tidak faham cara otak Anna bekerja. Kalau ya pun mahu sambung belajar, mengapa tidak buat master saja?

Anna jongket kening. Sengih ditarik. 

“Sebab nak tunjuk dekat orang yang aku pun layak jadi manusia. Boleh riak pada orang yang pandang darjat.” Kening dijongket dua kali. Jawapan yang entah serius atau main-main.

“Anna.” Suara bergetar Helen sekadar dibalas oleh Anna dengan gelak kecil.

“Sebab aku nak belajar terima kenyataan.” Gelak tadi sudah berganti dengan senyuman tawar. Anna merenung kosong ke depan. Wajah mak serta-merta terbayang. Dadanya terbuku.

“Sebab aku nak belajar terima diri aku sendiri, belajar maafkan diri aku sendiri.” Perlahan ayat itu disebut. ‘Islam kan ajar supaya hormat diri sendiri sebelum hormat orang lain? Tak ke?’

“Sebab aku tak nak jadi macam mak aku.” Suara Anna sudah bergetar.

“Sebab aku tak boleh terima semua yang dah terjadi. Aku susah nak terima.” Pahit ayat itu dilafazkan. Helen senyap, jadi menyesal pula membuka soalan. Wajah mendung Anna direnung serba salah. Walaupun tiada air mata yang mengalir, tetapi dia tahu yang Anna sedang menahan tangis.

“Anna ….”

“Aku okeylah, kau tak payah buat muka cekodok macam tu.” Anna tergelak kecil. Tidak suka pada pandangan simpati atau serba salah macam yang Helen tunjukkan. Dia penat hidup dengan pandangan sebegitu.

Mungkin niat Helen ikhlas tetapi pada dia, pandangan seperti itu hanya membuatkan Anna berasa seolah-olah ‘direndahkan’. Anna dan fikiran negatif yang susah hendak dibuang. Hidup dengan kisah yang tidak macam orang lain, mahu mengharap pada apa? Hatinya bukan lembut mana.

Ramai sahaja yang memberi sokongan moral, nasihat tetapi pada Anna semua ucapan yang diberi itu sudah biasa didengar. Klise yang sudah sampai tahap Anna tidak terkesan. Kadang-kadang orang tahu bercakap sahaja, tetapi tidak mahu cuba memahami mereka. Sembang bermodalkan air liur, semua pun boleh.

“Kelas aku habis pukul satu, lepas tu aku terus pergi An-Nur. Nak join sekali?” Anna menarik tablet, menyusun jadual untuk esok. 

“Kalau kau tak nak, aku ambil Grab je nanti.” Wajah Helen ditatap.

“Tak payah. Tak payah. Aku datang ambil, lagipun aku belum ada kerja nak buat.” Sementara resume yang dihantar sibuk dinilai oleh staf tempat dia memohon kerja, baiklah dia sibukkan diri sendiri.

Anna mengangguk perlahan. Tablet di tangan digelapkan sebelum dia menatap Helen. 

“Kau sanggup teman aku memang sebab kau nak, kan? Bukan sebab kau serba salah pasal tadi?” Anna menyoal selamba.

“Anna …,” Helen tidak tahu ayat apa yang sesuai untuk membalas. ‘Kenapalah hati kering sangat Roseanna depan dia ni?’

“Tak apa, aku tahu. Kau bernasib baik sebab aku tak ada lesen.” Anna menjulingkan mata ke atas. Bila nak dapat hidayah belajar memandu pun dia tidak tahu.

“Anna.” Helen memanggil pendek.

“Hmm?”

“Kalau aku datang dengan Fathur untuk jemput kau esok, boleh?” Helen sudah tergelak sambil kelam-kabut mengelak balingan kusyen daripada Anna. Bukan susah sangat mahu buat mood perempuan kepala konkrit itu berubah.