Roseanna

BAB 4

PENITI yang tadinya dikemam dipinkan pada belakang kepala, bagi menahan hujung tudung bawal. Setelah itu, tangannya diturunkan semula, membetulkan bahagian mana yang patut.

Telekung yang diguna tadi digantung pada tempatnya sebelum beranjak keluar dari bilik solat Rumah An-Nur. Sebaik kelasnya selesai, Anna dan Helen terus bergerak ke situ.

“Anna dah makan?” Kak Sal menyoal apabila kakinya menjejak lantai dapur. “Kalau belum, jom makan sekali. Ada makanan lebih tu. Budak-budak semua dah makan.”

“Tak apa, Anna kenyang lagi.” Anna sengih. Sebelum kelas terakhir pukul dua tadi, dia sudah mengisi perut di kafe. 

“Helen mana?” Anna menarik kerusi dan melabuhkan duduk.

“Ada, tengah sembang dengan budak-budak dekat dalam. Kalau Anna nak jumpa Kak Hanis, kena tunggu sekejap sebab dia tengah meeting dengan bonda dalam pejabat.” Kak Sal bersuara sebelum menyuap makanan.

“Bonda ada ke?” Anna kerut dahi. 

‘Semalam tak cakap pun nak datang?’

Tadi waktu sampai, tidak nampak pula kereta bonda. Yang ada hanya kereta Honda entah milik siapa.

“Ada sekali dengan wakil pihak biasiswa budak-budak nak sambung belajar tu.”

Eh?

Makin berkerut dahi Anna. ‘Wakil pihak biasiswa?’

“Tapi rasanya dah nak habis dah kut sebab dah sejam lebih mereka berbincang. Anna pergi panggil Helen sekali, ajak makan. Tadi dia merungut lapar.” Kak Sal menyuruh. Walaupun ‘kedudukan’ Anna dalam An-Nur lebih tinggi, tetapi Anna bukan jenis yang demand, kena ikut protokol darjat bagai. Diredah sahaja, dan sebab itulah Kak Sal dan Kak Hanis selesa dengan Anna. 

Anna bangkit lalu menuju ke bilik TV. Waktu hujung minggu macam ini, jadual penghuni An-Nur lebih bebas. Sebaik masuk ke bilik TV, dilihatnya Helen sudah sama-sama berbaring dengan penghuni lain untuk menonton drama.

“Amboi.” Anna menyandar di bingkai pintu, berpeluk tubuh. “Santai sungguh.” Senyum nipis diukir.

“Eh, Kak Anna.” Mulalah masing-masing kelam-kabut membetulkan duduk kecuali Helen yang sekadar mengerling dia sekilas.

“Kerja sekolah dah siap belum?” Salah satu syarat untuk melepak di dalam bilik ini, kerja sekolah perlu diselesaikan dahulu.

“Dah!” Semangat, semua menjawab.

“Kak Anna, jomlah duduk sekali.” Nina menepuk lantai di sebelahnya, meminta Anna untuk duduk. 

Boyfriend Nina tengah berlakon ni.” Nina tergelak diikuti dengan rungutan tidak puas hati yang lain.

“Mana satu boyfriend Nina?” Anna jongket kening. Sengihnya masih belum padam. 

“Bagi akak tengok dulu, lepas syarat ke tak.”

Helen mencebik. 

Halah, kalau dah ikut piawaian Kak Anna kau orang ni, alamatnya tak lepas-lepaslah standard sampai ke sudah.” Selamba dia mengutuk.

Alah, Baekhyun confirm lepas.” Nina semangat membela diri.

“Tak apa kak, Scarlet Heart Ryeo ni ramai je yang kacak. Pilih je mana berkenan. Tapi Lee Joon-Gi Mai punya.”

No, tu Kak Helen punya.”

Dan ruang sederhana besar itu riuh dengan suara tidak mahu kalah mereka. Masing-masing berebut jodoh yang nyatanya langsung tidak sedar dengan kewujudan masing-masing.

“Anna.”

Teguran satu suara di belakangnya, membuatkan Anna menoleh. Suara riuh tadi pun beransur reda sebaik muncul susuk tubuh milik bonda. Helen pun daripada berbaring, terus tegak duduknya.

“Tak bagi tahu pun bonda datang.” Anna menghampiri bonda. Masing-masing melangkah ke ruang tamu. Tidak lama selepas itu, Helen mengekori dan turut sama mengambil tempat di sofa.

“Saja, bonda tahu Anna ada kelas hari ni.” Bonda mengukir senyum.

“Eh, Irfan!”

Suara Helen mematikan niat Anna untuk membalas. Pandangannya sama melirik ke arah yang dipandang oleh Helen. Anna telan liur, bala sudah datang. Berdiri di belakang Irfan, Fathur yang sedang memandang skrin telefon.

“Hai, lama tak nampak.” Irfan menegur ramah. Sempat matanya mencuri pandang ke arah Anna yang sudah tersampuk bisu.

“Anna dengan Helen dah makan? Kalau belum, jom makan sekali.” Bonda mempelawa, langsung tidak perasan akan riak Anna yang tidak senang duduk.

“Anna kena jumpa Kak Hanis.” Ucapnya, terdesak mahu melarikan diri.

“Bagilah Kak Hanis tu rehat kejap. Nanti dah habis makan sambunglah kerja balik. Kesian Kak Hanis, dari tadi meeting dengan bonda, Fathur dan Irfan. Lepas tu sambung lagi meeting dengan kau.”

Lambat-lambat Anna berpaling menatap Helen, dengan aura membunuh terpancar. Sudah banyak amalan sangat agaknya si Helen ni!

“Jom.” Bonda tidak membuang masa, terus bangkit dan menapak ke ruang makan. Lambat-lambat Anna bangun daripada duduk. Helen dilihatnya sudah menyelamatkan diri dan berjalan seiring dengan Irfan. Terasa berat semacam sahaja kakinya mahu menapak. Apalagi kena duduk satu ruang dengan insan yang dia paling tidak mahu jumpa.

Beberapa minit berlalu, Anna sekadar senyap. Cuba menahan diri supaya bertahan duduk di situ. Bonda rancak berbual entah apa dengan Kak Hanis. Helen pun bahagia bergelak dengan Irfan dan sesekali, Fathur menyampuk.

“Anna baru balik dari kelas ke?” Irfan menyoal.

Anna senyum nipis. Irfan spesies Helen agaknya, peramah tidak bertempat. 

Ha’ah.” Pendek dia membalas, mengelak daripada bertentang mata dengan Fathur di depan.

“Oh, beauty with brain rupanya.” Irfan mengusik.

Anna tidak tahu, mahu gelak acah sopan atau berpura-pura tersipu dengan pujian itu. Jujur, dia tidak rasa apa-apa. Bahkan apa yang jadi konteks ayat Irfan itu pun, Anna tidak faham sangat.

“Datang sini sebab biasiswa tu ke?” Dia mengubah topik. Tidak pandai berbahasa bunga-bunga untuk mengayat orang.

“Dah, dahlah tu, urusan kerja takkan nak bahas depan rezeki.” Helen buat muka. 

Anna tahan diri daripada julingkan mata ke atas. Helen sedang sengaja cari pasal.

“Hujung minggu pun kelas?”

Anna mengangkat kepala menatap Fathur yang sedang menyuap makanan ke mulut. Riak lelaki itu kelihatan tenang. Tidak ada rupa mahu cari gaduh.

“Kenapa?”

Fathur tersenyum mendengar jawapan sepatah itu. ‘Defensive sungguh.’ 

“Tak tahu pun you ni student.” Bonda ada bagi tahu serba sedikit tadi pasal perempuan di depan dia ini. Ingatkan jadi pengurus sepenuh masa.

I tak ingat pun yang I kena buat laporan dekat you pasal semua yang I buat.” Anna jongket sebelah kening. Entah mengapa kalau dengan Fathur, dia jadi sinis begini.

“Roseanna Abdullah, twenty-eight, kelulusan degree in accounting dan sekarang tengah buat double degree untuk Islamic Studies. Anak angkat Tengku Zaidah dan Tengku Herman since eight years agoTell me what I’ve missed.”

Deg!

You’re stalking me?” Anna menyoal dingin. 

‘Psiko mana pula yang aku jumpa tak sampai sebulan ni?’

I thought you cakap hari tu you nak gantikan Irfan dengan I. Tak salah kut rasanya I buat background check. Nak tahu juga hebat mana perempuan yang konon nak I ganti tempat Irfan ni.” Kali ini Fathur merenung Anna, setia dengan senyuman senget. 

Are you insane?” Anna speechless. Patut pun dia rasa tak sedap hati apabila berhadapan dengan lelaki ini.

“Belum start lagi takkan dah takut?”

Anna menarik nafas panjang kemudian dihembus, cuba tenangkan diri. Entah mengapa dia rasa tidak selamat dengan Fathur. Apa lagi yang Fathur tahu? Masalah kalau Fathur tahu semua perkara pasal seorang Roseanna.

“Apa lagi yang you tahu?” Anna menyoal hati-hati.

“Ada apa-apa yang I patut tahu ke?” Fathur jongket kening, senyumannya masih belum cair. 

“Kenapa you gelabah semacam? I tak buat apa pun lagi.”

Am I that interesting to you sampai kena buat background check bagai?” Anna tidak mahu kalah. Renungan Fathur dibalas. Sama tajam.

Fathur mencebik kecil. 

You knew you were beyond interesting, Anna.” Fathur tersenyum sambil meletakkan kedua-dua belah siku di atas meja sebelum tangannya naik menopang dagu. Wajah cantik Anna yang mula memerah direnung.

Anna mengalih pandangan. Dadanya mula berdebar tidak seirama. Kalau tidak mengenangkan yang bonda ada di sini, sudah lama dia join budak-budak lain melepak depan TV, cari jodoh orang Korea.