Sakura

Sakura

PROLOG

KOTAK yang berisi donat pelbagai perisa itu dibawa girang. Ayra meloncat-loncat menaiki anak tangga, satu demi satu. Bilik abang sulungnya dituju. Ayra mahu mengajak abangnya menikmati donat bersama. Kebelakangan ini, abang sulungnya itu sentiasa berkurung di dalam bilik. Hanya makan apabila dipanggil. Hari ini pula, dia tak menjamah apa-apa sedari pagi. Dia memberi alasan, tak punya selera tatkala dipanggil.

Oleh itu, Ayra menapak ke pusat membeli-belah selepas maghrib tadi. Mahu membelikan donat kegemaran abangnya sebagai umpan untuk memaksa abangnya makan.

Tok! Tok! Daun pintu diketuk. Ayra menunggu. Tiada sahutan.

“Along? Adik ada belikan donat ni! Jom makan sekali!”

Sunyi.

Tok! Tok! Ayra mengetuk lagi.

“Along?” Tidurkah?

Tapi malam masih muda. Baru pukul 9.20 malam. Tak mungkin  abangnya itu beradu seawal ini. Selalunya, kalau tak cecah pukul 3.00 pagi,  memang dia tak akan lelapkan mata. Abangnya itu kan spesies vampire.  Pagi tidur, malam berjaga.

Ayra tak betah menunggu lama. Perutnya kelaparan minta diisi.  Sedari tadi dia terliur melihat krim coklat yang berkilat di atas donat.  Enggan membuang masa, Ayra memulas tombol lalu daun pintu ditolak.  Kakinya menapak masuk ke dalam bilik tidur yang luas itu.

Kosong.

Lampu utama tak dihidupkan tetapi Ayra masih dapat melihat  samar-samar hasil pencahayaan yang datang dari bilik air yang terbuka  pintunya. Susuk abangnya dicari di atas katil tapi kawasan itu kosong  tak berpenghuni. Hanya ada cadar yang berantakan. Juga bantal yang tak  disusun kemas.

Jelaslah penghuni bilik tidur itu berada di dalam bilik air. Mungkin  sedang menggosok gigi.

Ayra menghampiri pintu bilik air yang terbuka. Dia yakin abangnya  ada di sana memandangkan gegendang telinganya menangkap bunyi pili air  yang bergema di udara. Namun, sejurus Ayra berdiri di hadapan pintu yang  luas terbuka, tangannya terus lemah tak bermaya.

Kotak donat yang dipegang jatuh menghempap lantai jubin. Kaki  yang dirasakan lembik, digagahkan untuk bergerak.

“Along!”

Ayra mendekati susuk lelaki yang sedang terbaring kaku. Bersama  bibir yang pucat membiru serta hidung yang berdarah. Beberapa biji pil  yang bersepah di atas lantai langsung tak dipedulikannya. Walaupun Ayra  tahu, pil-pil itu merupakan punca.

“Ya Allah … along! Bangun along! Kenapa along buat macam ni?”  Ayra menggoncang-goncang tubuh yang tak memberi sebarang reaksi itu.  Ditepuk pipi pucat itu berkali-kali. Mengharapkan ada pergerakan walaupun  sedikit.

“Umi! Papa! Angah! Hideki!” Ayra memekik, memanggil penghuni rumah. Berharap ada yang mendengar. Binaan rumah yang sungguh besar  membuatkan pantulan bunyi lambat sampai ke serata arah. Justeru Ayra  memekik lagi.

“Umi! Papa! An—”

“Ayra? Kenapa ni?” Hideki datang menjenguk. Berderau darahnya  saat mendengarkan pekikan nyaring Ayra tadi. Otak automatik tak mampu  berbaik sangka. Memikirkan ada sesuatu yang buruk terjadi. Malah, makin  berderau darah Hideki tatkala pemandangan di hadapan menjamu mata.

“Airis!” Hideki mendekat. Badan Airis yang terbaring tak sedarkan  diri itu, digoncang berkali-kali. Cuba mengaktifkan sensor kesedarannya.  Berhasil nihil, malangnya.

“Hospital … Ayra, telefon ambulans!” Hideki memberi arahan.  Ayra terkial-kial menggagau kocek seluarnya. Mencari peranti pipih  miliknya. Jari terketar-ketar menggesek skrin, mendail nombor kecemasan.

Hideki membuat apa yang patut. Mengecek nadi dan menggerakkan  tubuh Airis. Denyutan masih ada tetapi lemah dan juga … Airis tak bernafas!  Terus Hideki lakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sambil melirik ke  arah Ayra. Haraplah gadis itu lekas menghubungi talian kecemasan. Mereka  tak punya masa untuk dihabiskan.

Kalau terlambat, Airis akan …

Ah, tak sanggup Hideki membayangkannya!

Ayra pula sedang mengawal sebak sambil bercakap di telefon  dengan suara yang diselangi esakan tertahan.

“Helo? Kami perlukan rawatan kecemasan. Abang saya overdose  pil!”