Bab 1
Musim bunga, Tokyo.
SEGALA kertas dan dokumen rasmi yang dibekalkan kepadaku daripada pihak pengurusan Galeri Prism Art, dibelek satu per satu. Aku telah hilang kira berapa kali kepilan-kepilan itu diselak. Sebelum bertolak ke KLIA beberapa hari lepas, aku sudah memeriksanya. Sejurus tiba ke apartmen yang disewa ini pun, aku memeriksa kepingkeping kertas tersebut.
Pagi ini, hari ketiga sejak aku berhijrah ke Jepun atas urusan kerja, sekali lagi aku membelek kertas dengan emosi yang bercampurbaur. Mahu memastikan segala dokumen yang diperlukan lengkap. Aku tak mahu ada apa-apa komplikasi remeh berlaku pada hari pertamaku bekerja di Galeri Himawari nanti.
“Tak bersiap lagi? Lambat lapor diri, baru tahu.”
“Tengah bersiaplah ni,” jawabku tanpa memandang ke arah pintu bilik yang terbuka separuh. Kedengaran bunyi keluhan daripada bibir Awatif yang sedang menjenguk.
“Dah lengkap dah tu. Kau cuma perlu lapor diri je hari ni, kan? Dia orang pun tak kejam nak kerah kau bekerja pada hari pertama.” Awatif memberikan ayat penenang. Walaupun begitu, aku tak rasa tenang langsung.
“Aku rasa … menyesal terima tawaran ni.”
“Kalau nak menyesal, menyesal sebelum kita masuk ke dalam pesawat kelmarin. Dah sampai ke Jepun baru nak menyesal, tak ada gunanya. Dah, pakai tudung cepat. Aku tunggu kat luar.”
Pintu bilik dikatup.
Aku mencebik. Dalam hati memaki diri. Gatal sangat termakan pujuk rayu pengurus Galeri Prism Art, Puan Rohani. Dalam ramairamai staf dari pelbagai unit di Prism Art itu, mengapa pilih aku untuk menjadi perantaraan program kolaborasi dengan Galeri Himawari?
Aku … yang tak reti berbahasa Jepun.
Dan aku … pelukis bawah unit studio.
Langsung tiada kaitan! Mengapa bukan staf dari unit pengurusan atau unit HR? Serasa aku, unit tersebut lebih sesuai dalam urusan-urusan begini. Bukan pelukis seperti aku yang hanya terikat dengan studio semata-mata. Aku benar-benar tak faham apa yang Puan Rohani fikir saat meletakkan nama aku dalam kontrak persetujuan. Hampir terbeliak mataku melihat nama Nurin Nabeela binti Asraf Haidar yang tersemat elok dalam dokumen beberapa bulan sudah.
“Nurin! Lambat lagi ke?” Awatif memekik dari luar.
“Sekejap!”
Aku memeriksa penampilan diri buat kali terakhir di hadapan cermin. Solekan tipis yang tertempek membuatkan aku tampak segar. Bagus! Harapnya solekan bakal bertahan sehingga ke petang. Aku tak mahu sesiapa nampak lingkaran gelap bawah mata yang jelas menunjukkan betapa pendeknya jam tidurku.
Beg tangan digapai lalu aku pegang fail yang berisi dokumen. Cermin ditilik sekilas sebelum aku keluar dari bilik tidur. Pintu utama yang dibuka separuh menjadi tujuan. Kasut disarung, tombol ditarik.
Sejurus keluar, aku melihat Awatif yang sedang bersembang dengan seorang lelaki di ruang koridor. Lelaki itu berambut hitam dan berkulit cerah. Tubuhnya jauh tinggi berbanding aku mahupun Awatif.
Siapa dia? Aku tak kenal tentunya.
“Awatif,” panggilku menggamit perhatian.
Awatif tersentak. Kepalanya ditoleh dan dia mengatakan sesuatu kepada lelaki tersebut. Lancar bahasa Jepun ditutur oleh lidah gadis itu. Sememangnya salah satu kemahiran Awatif yang membuatkan aku mengheret dia ke sini. Dia fasih berbahasa Jepun. Turut pernah beberapa kali menapak ke kota Tokyo. Maka, aku tak segan-silu memintanya (memaksa) supaya dia menemani aku dalam tempoh enam bulan di sini.
Disebabkan kerja hakiki Awatif yang sangat fleksible, dia bebas bergerak ke mana-mana. Aku bersyukur kerana dia sudi (terpaksa) menerima pelawaanku beberapa bulan lalu.
“Jom, Nurin. Nanti terlepas tren kalau lambat.” Awatif datang mendekati. Aku mengerling sekilas lelaki yang masih statik berdiri. Dia sedang bersandar di dinding koridor dengan pandangan yang tertala ke arah Awatif. Sedar akan tumpuanku, dia membalas kontak. Senyuman tipis terukir di bibirnya.
Aku tersenyum janggal. Pusingkan badan dan mengikut rentak Awatif yang sedang berjalan ke arah lif.
“Siapa lelaki tu?”
“Hm? Jiran kita. Kebetulan waktu aku tengah tunggu kau tadi, dia tengah melepak di koridor. Sajalah kami berbual.”
“Oh, rumah dia dekat sebelah pintu rumah kita tu ke?”
Awatif angguk. Punat lif ditekan.
“Ha’ah. Unit 06-03.”
“Ramah pula kau hari ni. Selalunya kalau nampak orang, kau lari dulu. Jenis tak bercampur umat.” Aku menyindir. Ada terselit juga rasa aneh dengan perangai Awatif. Dia selalunya buat hal sendiri. Spesies forever alone. Terlebih huruf I dalam MBTI. Introvert sejati sejak azali. Dalam mulut ada emas. Lidah besi. Kotak suara sebesar saiz kuman.
Eh, banyak pula terkutuk!
Secara ringkasnya, Awatif bukan peramah dengan orang yang dia tak kenal.
“Dia yang tegur aku dulu. Takkanlah aku nak buat bodoh? Nanti kena cop biadab pula.”
“Kau memang biadab pun.” Halus suaraku mengomel. Kaki melangkah masuk ke dalam perut lif.
Awatif menjeling. Aku tersengih. Suara halus pun, memang sengaja aku nak dia dengar. Gurauan kasar sememangnya penguat kasih sayang antara kami. Selagi dapat peluang mengutuk, memang aku akan kutuk.
“Apa nama dia?” soalku lagi. Tiba-tiba masuk mod penyelidik.
“Siapa?”
“Jiran kita tu la … kan kita tengah bercakap pasal dia.”
“Kenapa nak tahu? Terpikat ke?”
“Aik, nak tahu nama pun tak boleh?”
“Manalah tahu kau dah insaf dan kembali kepada fitrah meminati lelaki.”
Banyak berdalih pula perempuan ni. Dan apa tadi? Kembali kepada fitrah? Bila masa aku jauh daripada fitrah?
Eh, siapa fitrah?
“Nama dia Izuna. Yoshida Izuna.” Awatif memberitahu. Beg galasnya diselongkar lalu dia keluarkan bucket hat yang berlipat. Topi itu dibuka dan disarungkan ke atas kepala yang berbalut selendang.
“Yoshida Izuna?” Aku cuba menyebut namanya. Sedikit aneh ditutur lidahku. Tak biasa dengan nama-nama orang di negara matahari terbit itu.
Pintu lif terbuka. Awatif melangkah keluar, meninggalkan aku dengan soalan yang tak punya jawapan. Aku mengikut jejaknya. Keluar sahaja dari kawasan lobi, kami disapa dengan angin dingin pertengahan musim bunga.
Topik perbualan tadi, hilang dibawa angin itu.
--
“LAMA gila tak jumpa kau!”
Tubuh aku dipeluk erat. Terletus tawa daripada kotak suaraku. Pelukannya aku balas sama erat juga. Beberapa saat dalam keadaan begitu sebelum dakapan dileraikan. Aku menatap gerangan di hadapan mata. Lama benar tak bersua dengannya.
“Damia. Makin sihat nampak!” Aku mencuit pinggangnya. Damia pernah bekerja di bawah bumbung yang sama denganku di Malaysia. Kami berdua merupakan pelukis dalam studio di Prism Art. Namun, setahun yang lalu, Damia berkeinginan untuk berhijrah ke timur. Atas saranan pengurus Prism Art, Damia memilih untuk bernaung di bawah Galeri Himawari di Jepun.
Siapa sangka aku bakal bertemu Damia semula? Benarlah takdir pertemuan itu sungguh tak dijangka.
“Kau pun makin sihat aku tengok.” Damia turut mencuit pinggangku. Balas dendam. “Dari bulan lepas aku dengar ada pelukis dari Prism Art akan datang untuk program kolaborasi selama enam bulan. Tak sangka pula kau, Nurin!”
“Aku pun tak sangka. Puan Rohani memandai-mandai letak nama aku.”
“Kena paksa ke apa ni?” Damia tergelak.
“Kena paksa sikitlah. Beberapa bulan lepas, Puan Rohani tanya aku kalau-kalau aku berminat untuk ke Jepun. Aku pun berguraulah, kata aku tak kisah. Sekali nohhh! Nama kena panggil ke pihak atasan. Dapat surat lapor diri, sekali dengan tiket penerbangan. Kau rasa?”
Makin galak Damia hamburkan tawa.
“Pagi tadi aku bad mood tau. Tak ada semangat nak kerja di sini. Nampak muka kau, hilang terus bad mood aku.”
“Aku ditugaskan sebagai tour guide kau. Kau patut bersyukur sebab staf Galeri Himawari ni multiracial. Tak ada la kau rasa macam rusa masuk kampung. Nak bersembang pun tak ada hal sebab ramai yang pandai berbahasa Inggeris.”
“Tapi hal rasmi, guna bahasa Jepun juga, kan?”
“Tak payah risaulah. Kau tu pelukis. Duduk bawah studio sama macam aku. Sesekali je kut kau akan dipanggil untuk program. Kau kena tulis laporan, kan?”
Aku angguk. Laporan yang perlu disiapkan setiap minggu buat pihak Galeri Prism Art di Malaysia. Tak masuk akal, kan? Selama ini, laporan yang aku buat semuanya berkaitan dengan lukisan dan hal studio. Jadi kenapa pelukis seperti aku kena tulis laporan tentang program kolaborasi pula? Prism Art dah tak cukup staf ke? Dah nak bankrap ke?
Ah, stres!
“Oh, sebelum itu, kau akan ada sesi briefing dengan Eve dan Louis. Nanti aku bawakan kau ke bilik mesyuarat.” Damia berkata sambil tangannya menggesek skrin telefon. Aku jeling sekilas. Kelihatan seperti jadual terpapar di situ. Mungkin tugas yang perlu dilakukan Damia sebagai tukang pandu buatku.
“Siapa tu?”
“Eve secretary CEO Galeri Himawari. Louis pula pengurus di cawangan Tokyo ni.”
“Galeri Himawari ada cawangan di tempat lain?”
“Ada satu lagi di Osaka.”
“Oh …” Aku baru tahu. Nampak sangat tak buat kajian sebelum lapor diri.
Damia menekan butang di tepi telefon. Gajet pipih itu diselitkan ke dalam kocek baju labuhnya. “Jomlah. Lepas habis briefing, aku bawa kau tour satu bangunan. Lepas tu, kita masuk studio.”
--
“RUANG ni khas untuk koleksi lukisan pelukis di bawah naungan Galeri Himawari je. Tak bercampur dengan pameran lukisan daripada pelukis luar.”
Usai sesi taklimat selama 20 minit, Damia dengan terujanya mengheret aku melusuri setiap ceruk bangunan.
Kini, kami berada di dalam ruang pameran di tingkat dua. Kawasannya luas. Berdinding putih gading, bersama hiasan dalaman yang sangat minimalis. Pada dinding itu pula, tergantungnya lukisan yang pelbagai. Tanpa tema yang tetap namun langsung tak membuatkan ruang itu kelihatan serabut.
“Ada projek ditugaskan untuk kau, kan? Lukisan tu …” Damia mengalihkan tumpuanku bersama sebaris soalan.
“Ha’ah. Perlu siapkan sebuah lukisan dalam tempoh enam bulan, khas untuk Galeri Himawari. Sebagai tanda kolaborasi.”
“Ada tema?”
Aku menggeleng, “Eve kata aku boleh lukis apa-apa je.”
Damia mengangguk-angguk.
“Itu lukisan untuk program kolaborasi. Untuk acara bulan depan? Kau ikut serta juga ke?”
Aku hampir mengeluarkan bunyi rungutan. Itu lagi satu masalah. Sewaktu taklimat tadi, Louis, pengurus Galeri Himawari mengalu-alukan aku untuk turut serta menghantar lukisan buat majlis yang bakal berlangsung bulan depan. Majlis yang dianjurkan secara besar-besaran itu merangkumi acara bidaan, pameran, serta beberapa akiviti yang aku malas nak ambil tahu.
Sewaktu Louis menunjukkan aku jalan acara tadi pun, aku dah teguk liur. Tiada beza dengan majlis eksklusif yang diadakan oleh Galeri Prism Art. Hadirin jemputan terdiri daripada kalangan orang atasan serta golongan berada. Setiap kali Galeri Prism Art anjurkan majlis eksklusif seperti itu, boleh kira dengan sebelah tangan berapa kali aku hadir.
“Nak pontenglah tu. Kau kena hadir juga untuk tulis laporan.” Damia mengekek ketawa. Tahu saja dia akan monolog dalaman aku. “Tak ada gunanya jadi salah seorang pelukis hebat di Prism Art kalau tak pandai cari cable dan connection.”
“Malaslah.” Skil sosial aku dahlah tak mencapai piawaian. Macam mana nak bergaul dengan orang-orang yang kurasa sangat jauh kedudukan sosialnya daripada aku?
“Memanglah kau malas cari. Cable buat apa? Lukisan kau laku juga walau tanpa cable. Setakat nak cecah lima ke enam angka, petik jari je kan?” Damia mencuit pinggangku. Tak habis lagi hendak mengusik.
Aku pantas mengelak.
“Tak ada la. Ikut rezeki juga tu.” Justeru rezeki yang satu itu, tak terucap rasa syukurku. Tapi angka sebanyak itu hanya berlaku dua, tiga kali setahun.
Di mana ia berlaku? Dalam majlis eksklusif itulah. Kerana acara bidaan lukisan yang berlangsung dalam majlis seperti itu, bakal dihadiri orang-orang yang punya harta tak habis tujuh keturunan. Setakat nak salurkan enam angka untuk sebuah lukisan, celah kuku mereka saja agaknya.
“Rezeki, satu hal. Kau juga berbakat, satu hal yang lain. Kau ingat rezeki tu datang bergolek tanpa usaha ke?”
Bicara Damia tidak aku peduli. Lebih tepatnya, aku tak sedar yang aku telah mengabaikan perbualanku bersama Damia. Tatkala kakiku melangkah dan membawa diri ke sebuah lukisan yang tersergam di satu sudut, telingaku seakan-akan nyah fungsi.
“Dan lagi satu, kau tu … eh, kau dengar ke tak ni, Nurin? Aku bercakap seorang-seorang ke dari tadi?”
Sebuah lukisan. Bersubjekkan ranting-ranting pohon sakura yang telah dipatahkan. Reranting itu pula, diikat menggunakan tali dan digantung pada pohonan sakura yang masih tumbuh besar.
“Nurin Nabeela! Kau termenung apa?”
“Siapa …” Mataku meliar ke sekeliling lukisan sehinggalah pandangan terhenti pada maklumat ringkas yang tertera di bawah bingkai.
Sakura; The Marionette Ikeda Midori
“… Ikeda Midori?”
“Ikeda Midori? Oh …” Damia kini menangkap persoalanku. Dia menapak dan berdiri di sisi. Bersama-sama menatap lukisan di depan mata, “Dia pelukis Studio Himawari juga. Macam yang aku cakap tadi, ruang ni dikhaskan untuk lukisan pelukis bawah Studio Himawari saja.”
“Cantik lukisannya,” pujiku.
“Lukisan dia ada aura tersendiri. Macam hidup, kan?”
“Betul.”
Kagum sungguh aku melihat bunga sakura yang sepertinya dipaksa masuk ke dalam kanvas. Bunganya hidup. Bunganya bernafas. Bunganya punya haruman. Aku seperti melihat bunga sakura yang asli di hadapan mata.
“Aku suka …” tambahku lagi. Hujung ayat yang meleret tadi, mati tanpa suara.
“Bunga sakura?”
“Tak. Ikeda Midori. Aku suka lukisan Ikeda Midori,” jawabku, menyangkal tekaan kurang tepat Damia. “Hari ni dia datang ke studio tak?”
Aku memandang Damia, menunggu jawapan. Dia terpingapinga buat seketika.
Damia senyap buat beberapa saat. Matanya bergerak-gerak seperti mencari ayat. Sudahnya dia membuka mulut juga.
“Nurin … Ikeda Midori dah meninggal dunia lima tahun lepas.”